India keluarkan nasihat perjalanan untuk warganya di Kanada susuli perbalahan kes pembunuhan Sikh

Masyarakat Sikh di Kanada menuntut siasatan menyeluruh dijalankan ke atas pembunuhan Hardeep Singh Nijjar. (Gambar: AFP/Don MacKinnon)
NEW DELHI: India pada Rabu (20 Sep) mengeluarkan nasihat perjalanan untuk warganya di Kanada berikutan hubungan diplomatik yang semakin tegang ekoran kes pembunuhan seorang aktivis Sikh Kanada.
Nasihat perjalanan itu dikeluarkan berikutan Kanada meningkatkan tahap amaran untuk warganya yang melancong ke India.
"Memandangkan aktiviti anti-India yang semakin meningkat dan jenayah kebencian serta keganasan jenayah di Kanada, semua warga India di sana dan mereka yang merancang perjalanan digesa untuk berwaspada sepenuhnya," menurut Kementerian Hal Ehwal Luar India.
Hubungan antara kedua-dua negara semakin merosot selepas Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau minggu ini menuduh India terlibat dalam pembunuhan seorang pemimpin masyarakat Sikh yang berasal dari India.
"Sejak beberapa minggu lalu, agensi keselamatan Kanada giat meneruskan dakwaan yang mengenai potensi hubungan antara ejen pemerintah India dan pembunuhan seorang warga Kanada Hardeep Singh Nijjar," kata Encik Trudeau kepada Parlimen pada Isnin.
Nijjar, yang merupakan ketua gurdwara dan penyokong vokal gerakan Khalistan, ditembak mati pada 18 Jun di bandar Surrey, Columbia.
India telah menyangkal dakwaan Kanada.
"Dakwaan penglibatan Pemerintah India dalam sebarang tindakan keganasan di Kanada adalah tidak masuk akal dan mempunyai motif," menurut Kementerian Luar Negeri pada Selasa.
PM Trudeau berkata beliau tidak mahu meningkatkan lagi ketegangan dengan India tetapi meminta New Delhi untuk bekerjasama dalam siasatan pembunuhan itu.
"Pemerintah India perlu mengambil perkara ini dengan serius," katanya pada Selasa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.