Skip to main content

Dunia

India jadi tuan rumah Sidang Puncak BRICS ketika perang Iran uji perpaduan blok itu

India akan menjadi tuan rumah Sidang Puncak BRICS hujung minggu ini ketika perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran menguji perpaduan blok itu.

Anggaran Waktu Membaca:
India jadi tuan rumah Sidang Puncak BRICS ketika perang Iran uji perpaduan blok itu

Papan iklan memaparkan Perdana Menteri India Narendra Modi di samping bendera negara-negara menjelang Sidang Puncak BRICS di New Delhi, India, pada 10 September 2026. (Gambar: REUTERS/Bhawika Chhabra)

Diterbitkan : 10 Sep 2026 09:06PM
  • Sidang Puncak BRICS diadakan di New Delhi pada 12 hingga 13 September, dengan kehadiran pemimpin utama seperti Xi Jinping, Vladimir Putin, dan Narendra Modi.
  • Perang Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran menjejaskan perpaduan BRICS, terutama akibat perbezaan pendirian antara Iran dan UAE serta kesan ekonomi global.
  • Fokus sidang termasuk usaha mencapai kata sepakat mengenai krisis Timur Tengah dan kemungkinan pertemuan penting antara Modi, Xi, dan Putin.
  • BRICS berusaha menunjukkan kesatuan negara membangun menentang dasar Barat, walaupun cabaran dalaman menyukarkan pengeluaran kenyataan bersama.
Dijana oleh AI
NEW DELHI: India akan menjadi tuan rumah Sidang Puncak BRICS hujung minggu ini ketika perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran menguji perpaduan blok itu.

Sidang puncak pada 12 hingga 13 September di New Delhi berlangsung lebih enam bulan selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran, yang menjadi negara anggota BRICS sejak 2024.

Perang itu menyebabkan Selat Hormuz hampir ditutup sepenuhnya, sekali gus menjejas salah satu laluan utama perdagangan minyak dunia dan melonjakkan harga minyak mentah kepada lebih AS$100 (S$126.60) setong.

Amiriah Arab Bersatu (UAE), yang juga negara anggota BRICS, menggantung semua urus niaga perdagangan dan kewangan dengan Iran pada Ogos selepas negara itu menjadi sasaran peluru berpandu Iran sejak perang bermula.

Pakar dasar luar berkata cabaran utama bagi BRICS adalah untuk mencapai kata sepakat mengenai krisis di Timur Tengah yang boleh diterima oleh Iran dan UAE, sekali gus membuka laluan kepada satu kenyataan bersama.

Menurut mereka, kenyataan bersama itu mungkin tidak banyak mempengaruhi keadaan geopolitik semasa, namun boleh menunjukkan bahawa negara-negara sedang membangun mampu bersatu menentang dasar yang menjejas ekonomi seperti sekatan Barat.

XI JINPING BUAT LAWATAN PERTAMA KE INDIA DALAM TUJUH TAHUN

Presiden China Xi Jinping akan menghadiri Sidang Puncak BRICS dalam lawatan pertamanya ke India dalam tempoh tujuh tahun.

Kehadirannya mencerminkan kepentingan yang diberikan Beijing kepada BRICS, selain meletakkan China bersama India sebagai antara negara utama dalam usaha mengekalkan perpaduan blok yang semakin berkembang itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin, Presiden Iran Masoud Pezeshkian, Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto juga dijangka hadir.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres turut dijadualkan menghadiri sidang tersebut.

UAE pula dijangka diwakili Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed Al Nahyan.

PERANG IRAN BERI KESAN NEGATIF KEPADA BRICS

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata perbezaan antara Iran dengan UAE memberi "kesan negatif" kepada BRICS dan menyukarkan usaha merangka kenyataan bersama.

Namun, beliau berharap para pemimpin dapat mencapai satu rumusan yang boleh diterima kedua-dua negara anggota itu.

BRICS pada asalnya dianggotai Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan sebelum berkembang dengan penyertaan Mesir, Habsyah, Iran, UAE dan Indonesia.

Arab Saudi pula belum menerima keanggotaan penuh BRICS, namun terus mengambil bahagian menerusi delegasi peringkat lebih rendah. Menteri Luarnya Faisal bin Farhan Al Saud dijadualkan menghadiri sidang di New Delhi.

Pada Mei lalu, para menteri luar negara anggota BRICS gagal mengeluarkan kenyataan bersama selepas mesyuarat di New Delhi disebabkan perbezaan pendirian antara Iran dengan UAE.

Namun, Sidang Puncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) awal bulan ini meningkatkan harapan bahawa negara-negara anggota BRICS juga mampu merapatkan perbezaan tersebut.

Para pemimpin SCO, termasuk Encik Modi, Encik Xi, Encik Putin dan Encik Pezeshkian, menandatangani kenyataan bersama yang mengecam kempen ketenteraan Amerika Syarikat-Israel terhadap Iran serta sekatan Barat.

PERTEMUAN MODI-XI, MODI-PUTIN JADI TUMPUAN

Selain usaha mencapai kata sepakat mengenai Timur Tengah, perhatian turut tertumpu kepada kemungkinan pertemuan antara Encik Modi dengan Encik Xi serta rundingan yang dijadualkan antara Encik Modi dengan Encik Putin.

Pertemuan Modi-Xi, jika berlangsung, akan menjadi pertemuan ketiga mereka sejak hubungan kedua-dua negara mula bertambah baik tahun lalu menyusuli persetujuan untuk meredakan ketegangan tentera di sepanjang sempadan Himalaya yang dipertikaikan.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai usaha menstabilkan hubungan dan memperkukuh kerjasama ekonomi.

Encik Putin pula dijadual mengadakan rundingan dua hala dengan Encik Modi pada Jumaat menjelang Sidang Puncak BRICS, dengan perdagangan dan kerjasama ekonomi dijangka menjadi antara agenda utama.

Pertemuan itu berlangsung ketika Rusia kekal sebagai antara pembekal tenaga terbesar India, sedang New Delhi berusaha mengimbangi hubungan strategik lamanya dengan Mosko dengan tekanan Washington berhubung pembelian minyak Russia.
Sumber : Reuters/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita