Skip to main content

Dunia

India ikrar tumpaskan ‘ekosistem’ pengganasan, setahun selepas konflik dengan Pakistan

Anggaran Waktu Membaca:
India ikrar tumpaskan ‘ekosistem’ pengganasan, setahun selepas konflik dengan Pakistan

PM India Narendra Modi. (Gambar fail: REUTERS/Shir Torem)

Diterbitkan : 07 May 2026 03:00PM Dikemas Kini : 07 May 2026 06:15PM
NEW DELHI: Perdana Menteri Narendra Modi mengatakan India kekal "teguh seperti biasa" dalam tekadnya untuk menumpaskan keganasan dan "ekosistem yang menyokongnya". Kenyataan itu dibuat sempena ulang tahun pertama pertempuran maut dengan musuh ketatnya, Pakistan.

Hubungan antara dua jiran bersenjata nuklear itu merosot tahun lalu selepas serangan pada 22 April di Pahalgam, wilayah Kashmir yang ditadbir India, membunuh 26 orang yang kebanyakannya merupakan pelancong beragama Hindu. Kejadian itu mencetuskan konflik terburuk antara kedua-dua negara dalam tempoh beberapa dekad.

India menuduh Pakistan menyokong serangan tersebut - tuduhan yang dinafikan oleh Islamabad - sehingga mencetuskan tindakan diplomatik balas-membalas dan ketegangan tentera yang mendadak.

Konflik itu semakin meruncing selepas India melancarkan serangan pada 7 Mei 2025 ke atas apa yang disifatkannya sebagai "kem pengganas" di Pakistan.

"Kami tetap teguh seperti biasa dalam tekad kami untuk menumpaskan keganasan dan memusnahkan ekosistem yang membolehkannya berlaku," kata Encik Modi pada Khamis (7 Mei), setahun selepas pelancaran operasi yang dinamakan India sebagai "Operasi Sindoor".

Pemerintah nasionalis Hindu pimpinan Encik Modi menggunakan istilah "Sindoor" - iaitu serbuk merah yang dipakai oleh wanita Hindu yang sudah berkahwin di dahi mereka - sebagai simbol untuk membalas dendam bagi pihak mereka yang menjadi balu dalam serangan 22 April itu.

"Mereka memberikan tindak balas yang setimpal kepada pihak yang berani menyerang rakyat India yang tidak bersalah di Pahalgam. Seluruh negara memberi tabik hormat kepada pasukan tentera kita atas keberanian mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Lebih 70 orang terkorban di kedua-dua belah pihak dalam konflik tersebut.

Pakistan mendakwa telah menembak jatuh lima jet pejuang India, termasuk tiga pesawat canggih Rafale buatan Perancis, yang kesemuanya berada di dalam ruang udara India ketika itu. India bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang kerugian atau kehilangan aset.

Kedua-dua negara bersetuju untuk menamatkan konflik selama empat hari itu pada 10 Mei, selepas gencatan senjata diumumkan buat pertama kali oleh Presiden Donald Trump.

Para pegawai dari Islamabad dan New Delhi mengesahkan gencatan senjata tersebut pada 10 Mei, hanya beberapa minit selepas Encik Trump membuat pengumuman itu di rangkaian sosial miliknya, Truth Social. India berulang kali menegaskan bahawa gencatan senjata itu dicapai secara langsung dengan Islamabad tanpa campur tangan luar.
Sumber : AFP/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita