Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India hadkan hanya boleh eksport 10 juta tan gula bagi bendung inflasi, jamin bekalan tempatan

Anggaran Waktu Membaca:
NEW DELHI: Pemerintah India mengorak langkah untuk mengawal inflasi dan menjamin bekalan makanan, dalam bentuk larangan eksport gula bermula awal bulan ini.

Pemilik kilang gula di India, Renuka Sugars, menyumbang kepada seperlima eksport gula India.

Namun pemerintah India bulan ini menghadkan jumlah gula yang dibenarkan untuk dieksport kepada 10 juta tan hingga hujung September nanti.

Tujuannya untuk membendung kenaikan harga makanan asas serta menjamin bekalan makanan India, selaras dengan langkah-langkah perlindungan perdagangan serantau.

Inflasi di India melepasi 7 peratus dan harga gula di Mumbai menjulang sekitar 10 peratus berbanding setahun lalu.

Ia sejajar dengan kenaikan harga makanan sejagat, sebahagian besarnya disebabkan perang di Ukraine.

Lantaran itu, pemilik gerai makanan yang ditinjau Mediacorp mengalu-alukan sekatan eksport tersebut.

Mentelah lagi pemakanan penduduk India amat kaya dengan pencuci mulut, dan dijangka menggunakan 27 juta tan gula sepanjang musim ini.

Pada masa yang sama, India dijangka mencatatkan penghasilan rekod 36 juta tan gula dan lebihan 8 juta tan bekalan daripada musim sebelumnya.

Sungguhpun ia akan mendatangkan lebihan gula yang boleh dieksport, para penganalisis berpendapat, pemerintah lebih cenderung untuk berwaspada.

Sekalipun para pengilang India mencapai had eksport gula 10 juta tan, ia tetap akan mengatasi eksport tujuh juta tan pada tahun lalu.

Oleh itu, pengilang Renuka Sugars masih akan menyaksikan paras eksport tertinggi tahun ini.

Larangan-larangan kebelakangan ini dijangka tidak menjejas teruk bekalan gula di pasaran dunia, berbanding bahan-bahan komoditi lain.
Sumber : Agensi berita/ZM/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan