Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India dilanda cuaca panas melampau; hujan monsun lambat sedikit tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
India dilanda cuaca panas melampau; hujan monsun lambat sedikit tahun ini

(Gambar: Rajesh Kumar Singh/AP)

LUCKNOW: Beberapa kawasan di barat laut dan tenggara India bersiap sedia menghadapi cuaca panas yang melampau pada Isnin (22 Mei), dengan amaran cuaca teruk dikeluarkan di New Delhi, sedang suhu ekstrem melanda beberapa kawasan di negara itu. 

Jabatan Meteorologi India mengeluarkan amaran gelombang haba bagi tujuh kawasan di selatan dan bahagian tengah India minggu lalu dan memperluaskannya kepada ibu kota dan beberapa lagi kawasan di utara India pada Isnin sedang suhu melepasi paras normal. 

Ia turut memberi amaran bahawa cuaca panas yang melampau akan berterusan selama beberapa hari akan datang sebelum hujan membawa sedikit kelegaan. 

Monsun barat daya lambat sedikit tahun ini dan akan melanda pada minggu pertama bulan Jun, menyebabkan suhu kekal tinggi lebih lama daripada biasa, menurut jabatan tersebut. 

Ketika suhu mencecah 45 darjah Celcius di wilayah utara Uttar Pradesh, beberapa bahagian lain turut mengalami bekalan elektrik terputus yang berlarutan selama lebih 12 jam walaupun arahan yang dikeluarkan pada Mac untuk semua loji janakuasa di negara itu beroperasi pada kapasiti penuh untuk mengurangkan berlaku insiden sedemikian.

Gelombang haba di wilayah itu dijangka berlarutan selama dua lagi hari, menurut seorang pegawai kaji cuaca. 

Beratus-ratus penduduk yang kecewa dan marah mengadakan tunjuk perasaan di luar stesen janakuasa berdekatan ibu kota Uttar Pradesh, Lucknow dan menyekat jalan raya sepanjang hujung minggu lalu. 

"Bekalan elektrik terputus bermakna tiada alat hawa dingin, tiada kipas dan tiada air pun. Kami sudah tidak boleh bertahan dengan cuaca panas ini dan ketiadaan bekalan elektrik memburukkan lagi keadaan," kata seorang penduduk Lucknow, Ramesh Gupta. 

Tambahnya, isterinya terpaksa tidur dalam kereta pada hujung minggu lalu dengan alat hawa dingin dihidupkan agar bayi mereka yang berusia sembilan bulan berhenti menangis. 

Sukhai Ram, seorang tukang kebun yang hanya dibayar gaji apabila beliau bekerja, terpaksa berhenti sementara. "Saya tidak boleh bekerja lagi. Saya akan bekerja sebaik sahaja matahari terbenam," katanya yang basah kuyup dengan peluh.

Suhu pada sebelah malam juga meningkat, menyebabkan  permintaan bagi bekalan elektrik meningkat untuk menghidupkan alat hawa dingin dan kipas. 

Cuaca yang terlampau panas itu menyebabkan 13 orang meninggal dunia di sebuah acara pemerintah bulan lalu di hab kewangan India, Mumbai, sekali gus mendorong beberapa kawasan untuk menutup semua sekolah selama seminggu. 

Sumber : AP/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan