India cuba redakan keadaan selepas pegawai BJP hina Nabi Muhammad

Gambar: Asif HASSAN / AFP
KUALA LUMPUR: Pemerintah India berusaha untuk meredakan kemarahan di dalam dan luar negara menyusuli kenyataan menghina oleh pegawai parti pemerintah India, BJP mengenai Nabi Muhammad SAW.
Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 38 orang ditangkap kerana merusuh di beberapa bandar di utara negara itu manakala aksi bantahan dirancang kemudian di Mumbai.
Tangkapan di bandar Kanpur adalah sebahagian daripada usaha untuk meredakan ketegangan agama yang timbul selepas dua pegawai dari parti nasionalis Hindu, BJP pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi membuat kenyataan yang menimbulkan kemarahan meluas di kalangan umat Islam di India dan luar negara.
Beberapa pegawai tinggi India sedang terlibat dalam menguruskan keretakan hubungan diplomatik ketika negara termasuk Qatar, Arab Saudi, Oman, UAE, Afghanistan, Pakistan dan Iran menuntut permohonan maaf daripada pemerintah India kerana membenarkan kenyataan menghina itu, kata seorang pegawai kementerian luar India.
Sepanjang hujung minggu, beberapa diplomat India yang ditempatkan di negara-negara Teluk dan negara-negara Islam yang berjiran dipanggil oleh pegawai di negara tersebut yang membantah komen oleh pegawai BJP.
Sementara itu, AFP melaporkan pelbagai negara mula memanggil perwakilan New Delhi, malah sebuah pasar raya di Kuwait memunggah keluar produk India dari rak penjualannya.
Pekerja di pasar raya memunggah teh serta produk lain buatan India, keluar dari rak penjualan bagi membantah kenyataan itu yang disifatkan sebagai 'Islamofobia'.
UAE muncul antara negara terkini mengecam kenyataan itu, dengan menegaskan ia 'bertentangan dengan prinsip serta nilai moral dan kemanusiaan.'
Kementerian Luar UAE menekankan akan 'perlunya menghormati simbol agama dan menentang ucapan kebencian'.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.