India, China setuju sambung semula penerbangan, pertingkat perniagaan dua hala

Menteri Luar India S. Jaishankar berjabat tangan dengan rakan sejawatannya dari China Wang Yi di New Delhi, India pada 18 Ogos 2025. (Gambar: AP/Kementerian Luar India)
Ini sedang kedua-dua negara jiran itu berusaha untuk memulihkan hubungan yang terjejas akibat pertempuran berdarah di sempadan pada 2020.
Pengumuman ini dibuat menyusuli lawatan Menteri Luar China Wang Yi selama dua hari ke New Delhi bagi pusingan ke-24 rundingan sempadan dengan Penasihat Keselamatan Negara India, Ajit Doval.
Rundingan itu menyentuh isu pengerahan tentera, penentuan sempadan dan pengurusan kawasan sempadan, walaupun tiada sebarang kejayaan besar dicapai.
Beijing menyatakan bahawa kedua-dua negara bersetuju untuk bertemu semula di China pada 2026.
PENERBANGAN, PERDAGANGAN DAN VISA
Kedua-dua pihak menyatakan negara masing-masing akan memulihkan penerbangan China-India yang digantung sejak pandemik COVID-19, memudahkan urusan visa, serta meningkatkan perdagangan dan pelaburan.
Namun, tiada tarikh diumumkan bagi penyambungan semula khidmat penerbangan.
“Hubungan yang stabil dan membina antara India dan China akan menyumbang besar kepada keamanan dan kemakmuran serantau serta global,” kata Perdana Menteri Narendra Modi dalam catatannya di X selepas bertemu Encik Wang.
Encik Modi dijadual akan melawat China pada hujung Ogos bagi menghadiri sidang puncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai, iaitu lawatan pertamanya ke negara itu dalam tempoh lebih tujuh tahun.
KEBIMBANGAN TERHADAP EMPANGAN TIBET
Menurut kenyataan Kementerian Luar China, Encik Wang memberitahu Encik Doval bahawa “perkembangan yang stabil dan sihat dalam hubungan China-India adalah demi kepentingan asas rakyat kedua-dua negara,” sambil menggesa kepercayaan bersama dan kerjasama yang lebih luas.
Namun begitu, India menyuarakan kebimbangan terhadap projek empangan besar yang sedang dibina oleh China di Sungai Yarlung Zangbo di Tibet, yang dikenali sebagai sungai Brahmaputra apabila memasuki India dan Bangladesh.
Menteri Luar India Subrahmanyam Jaishankar menekankan betapa pentingnya “ketelusan sepenuhnya” dan memberi amaran tentang risiko terhadap jutaan penduduk di kawasan hiliran.
China sebelum ini menegaskan bahawa projek hidroelektrik di Tibet tidak akan menjejas alam sekitar atau mengurangkan aliran air, walaupun India dan Bangladesh kekal berwaspada.
Sumber dari India berkata bahawa Encik Wang memberi jaminan kepada Encik Jaishankar bahawa Beijing sedang berusaha untuk memenuhi keperluan utama New Delhi, termasuk bekalan baja, logam nadir bumi, dan mesin pengorek terowong.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.