India buru penyebar 'berita palsu' susuli serangan anti-Muslim
Polis India buru pemilik akaun media sosial yang kongsi kepalsuan setelah 4 masjid dirosakkan dan beberapa rumah dan perniagaan milik masyarakat Islam digeledah.

Gambar fail aplikasi-aplikasi media sosial yang biasa digunakan orang ramai. (Gambar: Kirill Kudryavtsev/AFP)
NEW DELHI: Polis India sedang memburu pemilik sekitar 100 akaun media sosial yang dituduh berkongsi "berita palsu", selepas serangan orang ramai ke atas masjid di timur laut negara itu.
Keganasan bulan lalu di wilayah Tripura meletus di luar satu perhimpunan melibatkan ratusan pengikut kumpulan nasionalis Hindu sayap kanan.
Kejadian itu didakwa sebagai serangan balas dendam selepas pembunuhan beberapa penganut Hindu di seberang sempadan di Bangladesh yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Sebanyak empat masjid dirosakkan dan beberapa rumah serta perniagaan milik orang Islam turut digeledah.
Menurut polis, pihak-pihak yang cuba mengapi-apikan keganasan lanjut berkongsi imej mengelirukan di media sosial selepas kejadian itu.
"Akaun yang dikenal pasti menyebarkan khabar angin, berita, video dan gambar palsu yang tiada kaitan pun dengan Tripura," kata seorang pegawai kanan polis di wilayah itu kepada AFP pada Ahad (7 Nov), tanpa mahu namanya didedahkan.
"Walaupun siasatan masih di peringkat awal tetapi semua orang akan dikenal pasti dan ditangkap atas kesalahan sedemikian."
Laporan polis yang diberikan kepada media pada Sabtu mengenal pasti 102 catatan yang didakwa diterbitkan oleh "pesalah yang tidak diketahui" untuk mencetuskan konflik antara "anggota masyarakat agama yang berbeza".
Laporan media tempatan menyatakan polis telah menulis kepada Facebook, Twitter dan YouTube untuk mengarahkan catatan-catatan itu dipadamkan.
Kebanyakan catatan yang menyinggung perasaan itu telah dipadamkan setakat Ahad dan AFP tidak dapat menentukan kandungannya.
Baki catatan yang masih online sebahagian besarnya kelihatan mengetengahkan nasib umat Islam yang menjadi sasaran dalam serangan itu.
"Tripura terbakar!" tulis catatan seorang wartawan India yang berpangkalan di New Delhi, yang diterbitkan pada hari kejadian tanpa disertakan gambar atau rakaman dan diketengahkan dalam dokumen polis.
Serangan bulan lalu menyebabkan Tripura berada dalam keadaan berjaga-jaga, dengan pasukan keselamatan mengawal masjid dan polis melarang perhimpunan melebihi empat orang.
Tripura ditadbir oleh Parti Bharatiya Janata pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi.
Sejak parti nasionalis Hindu itu berkuasa pada 2014. pemimpin masyarakat minoriti Islam India berkata mereka semakin kerap menjadi sasaran serangan dan ancaman, namun sukar untuk mendapatkan bantuan rasmi.
"Pemerintah negeri masih belum memulakan sebarang tindakan terhadap mereka yang melakukan keganasan," menurut satu kenyataan daripada gabungan kumpulan India Muslim pada Sabtu.
"Pegawai polis yang tidak menghalang keganasan itu juga patut disiasat dan tindakan diambil terhadap mereka," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.