Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

India buka semula beberapa sekolah susuli pertikaian hijab

Anggaran Waktu Membaca:
India buka semula beberapa sekolah susuli pertikaian hijab

Gambar: AFP

Diterbitkan : 14 Feb 2022 06:58PM Dikemas Kini : 14 Feb 2022 07:00PM

INDIA: Sebuah wilayah di selatan India membuka semula beberapa sekolah hari ini (14 Feb).

Ia sebelum ini ditutup berikutan tunjuk perasaan pada minggu lalu terhadap pelajar perempuan yang tidak dibenarkan memakai tudung atau burqa yang menutupi bahagian kepala hingga kaki, di dalam kelas.

Isu itu, yang dilihat secara meluas oleh masyarakat minoriti Muslim India sebagai usaha untuk memencilkannya oleh pihak berkuasa di negara yang didominasi penganut Hindu, muncul ketika Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi bersiap sedia untuk pilihan raya di wilayah-wilayah utama.

Polis mengawal keadaan sedang para pelajar berpakaian seragam merah jambu, kira-kira 12 yang memakai tudung, memasuki sekolah perempuan pemerintah di mana isu itu mula-mula tercetus di daerah Udupi di wilayah Karnataka, kira-kira 400 kilometer dari hab teknologi Bengaluru.

Pihak berkuasa melarang perhimpunan lebih lima orang dalam lingkungan 200 meter dari institusi pendidikan di kawasan itu, yang sudah memulakan kelas dari sekolah rendah hingga menengah, walaupun institusi pengajian lebih tinggi dan kolej masih ditutup.

Langkah itu diambil selepas mahkamah negeri, yang menetapkan perbicaraan tentang perkara itu hari ini (14 Feb), memberitahu pelajar supaya tidak memakai sebarang pakaian melambangkan keagamaan, antaranya selendang dan hijab, di dalam bilik darjah sehingga arahan selanjutnya diberikan.

"Sama ada pemakaian hijab di dalam bilik darjah adalah sebahagian daripada asas amalan agama Islam berdasarkan jaminan perlembagaan memerlukan pemeriksaan yang lebih mendalam," menurut mahkamah dalam perintah sementara pada minggu lalu.

Isu itu menjadi perhatian menyusuli tunjuk perasaan minggu lalu selepas beberapa sekolah menghalang kemasukan pelajar yang memakai pakaian sedemikian, yang dianggap melanggar perintah 5 Februari mengenai pakaian seragam oleh pemerintah, yang diperintahkan oleh BJP Modi.

Parti itu mendapat sokongan terutamanya daripada masyarakat majoriti Hindu, yang membentuk kira-kira 80 peratus daripada penduduk India yang berjumlah kira-kira 1.4 bilion, manakala umat Islam menyumbang kira-kira 13 peratus.

Ayesha Imthiaz, seorang pelajar di Udupi, berkata ia memalukan apabila diminta menanggalkan tudung sebelum masuk kelas.

Dia merasakan "agamanya sudah dipersoalkan dan dihina oleh tempat yang saya anggap sebagai nadi pendidikan," katanya kepada Reuters pada hujung minggu.

Seorang pegawai di daerah pantai Udupi, Pradeep Kurudekar S, memberitahu wartawan bahawa pihak berkuasa akan menunggu arahan lanjut daripada mahkamah atau pemerintah untuk menyambung semula semua kelas.

Isu itu membangkitkan sokongan kepada budak perempuan dan wanita Islam daripada pemerintah AS dan pemenang Nobel Keamanan Malala Yousafzai.

Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan