India buka pintu kepada pelancong divaksin selepas 18 bulan
India mula menerima para pelancong lengkap divaksin yang tiba dengan menaiki penerbangan komersil biasa hari ini (15 Nov).
(Gambar: SAJJAD HUSSAIN / AFP)
NEW DELHI: India mula menerima para pelancong lengkap divaksin yang tiba dengan menaiki penerbangan komersil biasa hari ini (15 Nov). Ini merupakan kelonggaran terkini sekatan COVID-19 sedang negara itu menyaksikan jumlah kes jangkitan yang berkurangan dan kadar vaksinasi yang meningkat.
Para pelancong yang memasuki India dikehendaki divaksin sepenuhnya, mematuhi protokol COVID-19 dan disahkan negatif bagi virus itu dalam tempoh 72 jam sebelum penerbangan mereka, menurut kementerian kesihatan negara itu.
Ramai yang juga perlu menjalani ujian COVID-19 setibanya mereka di lapangan terbang.
Bagaimanapun, para pelancong dari negara-negara yang memeterai perjanjian dengan India agar sijil vaksinasi saling diiktiraf, seperti Amerika Syarikat, Britain dan beberapa negara Eropah lain, boleh meninggalkan lapangan terbang tanpa perlu menjalani ujian itu.
Ini merupakan kali pertama India membenarkan pelawat asing yang menaiki penerbangan komersil untuk memasuki negara itu sejak Mac 2020, ketika ia menguatkuasakan salah satu perintah berkurung paling ketat di dunia dalam usaha untuk mengawal pandemik.
Para pelancong yang lengkap divaksin dan menaiki pesawat sudah dibenarkan masuk sejak bulan lalu.
Ini menyusuli jumlah kes jangkitan koronavirus yang merosot dengan banyak, dengan jumlah kes harian sekitar 10,000 selama lebih sebulan.
Pemerintah India merancang untuk mengeluarkan 500,000 visa percuma sehingga Mac depan untuk memikat pelancong bercuti di India.
Langkah itu dijangka merancakkan kembali sektor pelancongan dan pelayanan yang teruk terjejas oleh pandemik.
India merupakan negara kedua paling terjejas teruk oleh COVID-19 selepas Amerika Syarikat, dengan 35 juta jangkitan koronavirus dilaporkan.
Sebanyak 134,096 kes koronavirus masih aktif, iaitu yang paling rendah dalam 17 bulan, menurut Kementerian Kesihatan.
Hampir 79 peratus penduduk dewasa India sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin manakala 38 peratus sudah lengkap divaksin.
Pemerintah bersekutu sudahpun meminta agar pihak pentadbir negeri-negeri menjalankan kempen pintu ke pintu untuk mempercepatkan kempen vaksin.
Kurang tiga juta pelawat asing mengunjungi India pada 2020, kemerosotan lebih 75 peratus berbanding 2019 ketika sektor pelancongan mengaup pendapatan hampir US$30 bilion (S$40.5 bilion).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.