India anjur Sidang Puncak BRICS di New Delhi pada Sep
Kementerian Luar India menyatakan sidang puncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS serta undangan luar. (Gambar fail: Reuters)
- India akan menjadi tuan rumah Sidang Puncak BRICS di New Delhi pada 12 dan 13 September, melibatkan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS.
- Kementerian Luar India menyatakan sidang ini bertujuan memperkukuh kerjasama strategik serta membincangkan isu global dan serantau yang penting.
- Sepanjang tahun sebagai pengerusi, India telah menganjurkan lebih 350 mesyuarat di lebih 25 bandar bagi memajukan kerjasama BRICS.
- BRICS kini terdiri daripada 11 negara, mewakili lebih 40 peratus penduduk dunia dan lebih 32 peratus GDP global, dengan nilai perdagangan sesama anggota dijangka melebihi AS$1 trilion pada 2025.
Kementerian Luar India menyatakan, sidang puncak itu akan menghimpunkan pemimpin negara anggota dan rakan BRICS serta undangan luar.
Menurut kementerian itu, para pemimpin akan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara BRICS berkaitan keutamaan bersama, selain berkongsi perspektif mengenai isu global dan serantau yang menjadi kepentingan bersama.
India menyatakan sepanjang tempoh sebagai pengerusi tahun ini, lebih 350 mesyuarat dan libat urus peringkat tinggi sudah diadakan di lebih 25 bandar di seluruh negara bagi memperkukuh kerjasama strategik BRICS.
“India selaku penegrusi dalam BRICS sudah menyumbang kepada usaha memajukan kerjasama BRICS menerusi hasil yang praktikal dan berdasarkan pembangunan,” menurut kementerian itu.
India kini memegang jawatan pengerusi BRICS, blok 11 anggota yang pada mulanya dikenali sebagai BRIC dan dianggotai Brazil, Rusia, India serta China.
Afrika Selatan menyertai blok itu pada 2010, manakala beberapa negara lain turut menyertainya pada tahun-tahun berikutnya termasuk Arab Saudi, Mesir, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Ethiopia, Indonesia dan Iran.
Secara keseluruhan, negara BRICS mewakili lebih 40 peratus daripada jumlah penduduk dunia dan lebih 32 peratus daripada Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) global, manakala nilai perdagangan sesama anggota melebihi AS$1 trilion (S$1.27 trilion) pada 2025.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.