India akan mansuhkan undang-undang pertanian susuli bantahan petani
Pemerintah India akan memansuhkan tiga undang-undang pertanian yang mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan para petani.

Para petani meneriak-neriakkan slogan setelah pemerintah India mengumumkan akan memansuhkan undang-undang pertanian yang mencetuskan kontroversi pada 19 November 2021. (Gambar: Narinder NANU / AFP)
NEW DELHI: Pemerintah India akan memansuhkan tiga undang-undang pertanian yang mencetuskan kontroversi dan membangkitkan kemarahan para petani.
Perdana Menteri Narendra Modi pada Jumaat (19 Nov) berkata pentadbirannya tidak dapat meyakinkan kesatuan peladang yang membantah manfaat undang-undang itu yang diluluskan pada September tahun lalu.
Beribu-ribu petani berkhemah di pinggir Delhi bagi menuntut undang-undang yang didakwa akan menjejas pendapatan mereka itu dimansuhkan.
Mereka mengancam akan memperhebatkan lagi bantahan semasa sesi musim sejuk Parlimen yang akan bermula pada 29 November.
"Kami memutuskan untuk memansuhkan tiga undang-undang pertanian berkenaan," kata Encik Modi dalam ucapannya kepada negara.
Kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) akan menyelesaikan proses perlembagaan untuk menarik balik undang-undang itu semasa sidang Parlimen, katanya.
Sebagai reaksi terhadap pengumuman itu, pakatan kumpulan petani menyifatkannya sebagai satu "kemenangan" kepada kempen mereka sejak setahun lalu.
Encik Modi turut merayu kumpulan petani supaya membatalkan tunjuk perasaan mereka.
Seorang pemimpin kesatuan dari Uttar Pradesh, Rakesh Tikait berkata tunjuk perasaan itu bagaimanapun tidak akan dihentikan dengan serta-merta.
"Kami akan menunggu harinya apabila Parlimen memansuhkan undang-undang berkenaan," katanya.
Pemerintah sebelum ini berhujah bahawa undang-undang itu perlu untuk memodenkan sektor peladangan dan akan memberi manfaat kepada petani yang hampir 80 peratus daripada mereka adalah petani kecil-kecilan dengan keluasan ladang kurang daripada dua hektar.
Bagaimanapun, kesatuan peladang di negeri-negeri pertanian seperti Punjab, Haryana dan Uttar Pradesh memulakan bantahan mereka tahun lalu dengan mendakwa undang-undang itu akan menghilangkan sokongan harga yang dijamin pemerintah untuk makanan ruji seperti beras dan gandum.
Pengkritik berkata undang-undang yang berorientasi pasaran itu akan menyebabkan petani terdedah kepada manipulasi harga oleh syarikat-syarikat besar dalam pasaran yang tidak dikawal.
Bantahan berterusan itu menimbulkan masalah buat BJP menjelang pilihan raya tahun depan di tujuh negeri, termasuk Uttar Pradesh dan Punjab.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.