Skip to main content

Dunia

India akan ambil tindakan terhadap IndiGo berhubung pembatalan penerbangan

Anggaran Waktu Membaca:
India akan ambil tindakan terhadap IndiGo berhubung pembatalan penerbangan
Penumpang tunggu di luar kaunter tiket syarikat penerbangan IndiGo di Lapangan Terbang Antarabangsa Chhatrapati Shivaji Maharaj, selepas beberapa penerbangan syarikat penerbangan IndiGo dibatalkan, di Mumbai, India pada 6 Disember 2025. (Gambar: Reuters)
NEW DELHI: India akan mengambil tindakan tegas terhadap IndiGo selepas sekurang-kurangnya 2,000 penerbangan dibatalkan bulan ini, kata menteri penerbangan awam negara itu pada Isnin (8 Dis), untuk "dijadikan contoh" kepada syarikat penerbangan yang melanggar peraturan.

Pembatalan oleh syarikat penerbangan terbesar India itu, disebabkan kekurangan anak kapal selepas ia gagal merancang tepat pada masanya untuk peraturan yang lebih ketat mengenai waktu rehat juruterbang.

Ini sekali gus menyebabkan puluhan ribu penumpang terkandas, mengganggu rancangan percutian dan perkahwinan, serta mencetus kemarahan para penumpang yang turut kehilangan bagasi.

Ia juga membangkitkan kebimbangan tentang dominasi satu syarikat penerbangan di negara yang mempunyai 1.4 bilion penduduk.

Krisis tersebut menyebabkan saham IndiGo jatuh hampir 17 peratus sejak tujuh hari lalu, sekali gus mengurangkan nilai pasarannya sebanyak AS$4.3 bilion (S$5.57 bilion). Ini termasuk kemerosotan harga saham sebanyak 8.3 peratus pada Isnin.

"Kami sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan yang sangat, sangat tegas ... kami akan menjadikannya contoh kepada semua syarikat penerbangan lain," kata Menteri Ram Mohan Naidu kepada para penggubal undang-undang.

IndiGo tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk memberi komen tentang kenyataan Encik Naidu.

Pengawal selia penerbangan India mengeluarkan notis kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) IndiGo, Pieter Elbers dan Ketua Pegawai Operasi (COO) Isidre Porqueras, memberi amaran tentang tindakan kawal selia yang mungkin termasuk denda dan menggantung pegawai, menurut notis yang diterbitkan oleh Reuters pada Sabtu (6 Dis).

HASIL PENDAPATAN DIJANGKA MEROSOT

Dalam penunjuk pertama bilangan penumpang yang terjejas, pemerintah menyatakan 586,705 tiket dibatalkan antara 1 hingga 7 Disember, serta pampasan sebanyak 569.65 crore rupee (S$82 juta) dikeluarkan.

JM Financial menganggarkan pada Isnin penurunan hasil pendapatan sebanyak 8 hingga 9 peratus bagi tahun fiskal yang berakhir Mac depan, jika gangguan itu berterusan selama kira-kira 15 hari, tidak termasuk sebarang denda yang mungkin dikenakan oleh pemerintah atas gangguan tersebut.

Moody's Ratings memberi amaran pada Isnin bahawa IndiGo boleh menghadapi "kerugian besar dana".

IndiGo, yang mengawal kira-kira 65 peratus pasaran penerbangan India, menyatakan bahawa ia gagal merancang dengan secukupnya bagi tarikh akhir 1 November untuk melaksanakan peraturan yang lebih ketat berhubung penerbangan malam dan rehat mingguan bagi juruterbang.

Syarikat penerbangan India yang lain tidak mengalami masalah yang serupa.

Pada Isnin, IndiGo membatalkan kira-kira 500 penerbangan, menurut pemerintah India.

Sementara itu, pelabur menjangkakan bahawa syarikat penerbangan lain akan meraih manfaat daripada masalah IndiGo. Saham pesaingnya SpiceJet, salah satu daripada beberapa syarikat penerbangan utama yang disenaraikan dalam bursa India, melonjak 13.9 peratus pada Isnin.
Sumber : Reuters/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita