Imran Khan janji tadbir Pakistan sebagai 'Negara Kebajikan Islam'
Perdana Menteri baru Pakistan, Imran Khan berjanji akan mentadbir negara itu sebagai 'Negara Kebajikan Islam' seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW di Madinah pada abad ke-7.
Encik Imran Khan. (Gambar: AFP)
ISLAMABAD: Perdana Menteri baru Pakistan, Imran Khan berjanji akan mentadbir negara itu sebagai 'Negara Kebajikan Islam' seperti yang dilakukan Nabi Muhammad SAW di Madinah pada abad ke-7, menurut laporan Astro Awani.
Ini termasuk membanteras rasuah dan memulakan langkah penjimatan untuk mengurangkan hutang negara.
Menerusi ucapan pertama beliau yang disiarkan di seluruh negara sehari selepas beliau mengangkat sumpah, Encik Imran menegaskan bahawa pemotongan perbelanjaan pemerintah perlu dilakukan dalam usaha mengawal hutang negara, lapor Astro Awani.
“Saya akan memastikan rakyat memberi kepercayaan bahawa pentadbiran baru ini akan melindungi wang cukai yang telah dibayar oleh rakyat.
“Kempen ini akan diteruskan. Setiap hari kami akan memastikan rakyat mendapat maklumat berkenaan jumlah wang yang sudah berjaya disimpan,” katanya.
Ujarnya, ia juga sebagai pendorong untuk berjuta-juta rakyat negara itu yang berada di luar negara untuk turut melabur di Pakistan bagi membantu mengurangkan rizab asing, lapor Astro Awani.
Bukan itu sahaja, lagenda kriket itu turut berjanji akan mengekalkan dua buah kenderaan rasmi berbanding lebih 80 kenderaan rasmi yang digunakan pemerintahan sebelum ini.
Difahamkan, Encik Imran juga merancang untuk mempunyai dua pembantu berbanding 524 yang diperuntukkan untuk perdana menteri sebelum ini.
Dalam ucapan selama sejam, Encik Imran turut menyentuh tentang keperluan mengekalkan perdamaian dengan negara-negara jiran Pakistan, cabaran perubahan cuaca dan keperluan perubahan perkhidmatan awam.
Encik Imran mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-22 Pakistan pada Sabtu lalu (18 Ogos) dalam satu majlis sederhana di Islamabad dan kemudian mengumumkan seramai 20 anggota kabinet yang terdiri daripada 15 menteri dan lima penasihat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.