Skip to main content

Dunia

Imigresen Malaysia serbu klinik tawar khidmat doktor asing tak bertauliah

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu klinik yang disyaki menawarkan khidmat doktor warga asing tidak bertauliah dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan di Selangor dan ibu negara, pada Isnin lalu (19 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Imigresen Malaysia serbu klinik tawar khidmat doktor asing tak bertauliah

Seramai enam warga asing diberkas dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia ke atas klinik yang disyaki menawarkan khidmat doktor asing yang tidak bertauliah. (Gambar hiasan: Pixabay/Parentingupstram)

Diterbitkan : 21 May 2025 12:23PM Dikemas Kini : 21 May 2025 02:14PM
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu klinik yang disyaki menawarkan khidmat doktor warga asing tidak bertauliah dalam operasi khas di tiga lokasi berasingan di Selangor dan ibu negara, pada Isnin lalu (19 Mei).

Operasi yang dijalankan hasil risikan selama dua minggu itu menyasarkan premis di Sungai Buloh, Shah Alam serta Jalan Ipoh. Seramai enam warga asing berusia antara 23 hingga 57 tahun diberkas.

Ketua Pengarah Imigresen Zakaria Shaaban berkata antara yang diberkas merupakan seorang lelaki warga Pakistan dikenali sebagai ‘Maleeq’ yang dipercayai berperanan sebagai doktor, tiga wanita warga Myanmar yang disyaki menjadi pembantu klinik serta masing-masing seorang wanita warga Pakistan dan India.

“Siasatan awal mendapati terdapat kesalahan seperti tinggal lebih masa, penyalahgunaan pas lawatan, tiada dokumen sah serta pemilikan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR),” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu (21 Mei).

Beliau berkata pihaknya turut merampas buku log pesakit, cop klinik, beberapa pasport, peralatan perubatan, sijil sakit, telefon bimbit dan pakaian pengamal perubatan dalam operasi terbabit.

Menurut Encik Zakaria, siasatan lanjut mendapati klinik yang beroperasi selama setahun itu menawarkan pemeriksaan kesihatan pada waktu malam kepada warga asing dengan bayaran RM90 (S$27.26) bagi setiap pemeriksaan, yang dibayar secara online.

Tambah beliau kesemua mereka kini ditahan di Depot Imigresen KLIA untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 manakala seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Filipina diberi notis untuk hadir ke pejabat imigresen bagi membantu siasatan.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita