Skip to main content

Dunia

IMF unjur pertumbuhan global menyederhana kepada 3.2% pada 2025

Pertumbuhan global diunjurkan perlahan kepada 3.1 peratus pada 2026 berbanding 3.2 peratus tahun ini daripada 3.3 peratus pada 2024, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Anggaran Waktu Membaca:
IMF unjur pertumbuhan global menyederhana kepada 3.2% pada 2025

Logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) di ibu pejabatnya di Washington, DC, Amerika Syarikat pada 24 November 2024 (Gambar: Reuters/Benoit Tessier)

KUALA LUMPUR: Pertumbuhan global diunjurkan perlahan kepada 3.1 peratus pada 2026 berbanding 3.2 peratus tahun ini daripada 3.3 peratus pada 2024, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

IMF dalam kenyataan bersempena laporan Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) edisi Oktober 2025 yang dikeluarkan di Washington DC pada Selasa (14 Okt) menyatakan, ekonomi maju diunjur berkembang kira-kira 1.5 peratus manakala pasaran sedang pesat membangun serta ekonomi membangun melebihi sedikit daripada empat peratus.

“Ekonomi global sedang melakukan penyesuaian dengan landskap yang dipengaruhi oleh langkah dasar baharu. Beberapa langkah ekstrem seperti tarif yang tinggi telah dikurangkan melalui rundingan dan penyesuaian semula dasar.

“Bagaimanapun, keadaan keseluruhan kekal tidak menentu, dan faktor sementara yang menyokong aktiviti ekonomi pada separuh pertama 2025 seperti pelaksanaan awal kini semakin berkurangan,” katanya.

Menurutnya keadaan tersebut menyebabkan unjuran pertumbuhan global disemak naik berbanding WEO edisi April 2025, namun masih menunjukkan semakan menurun berbanding unjuran sebelum perubahan dasar.

IMF dalam ringkasan eksekutifnya memaklumkan prospek pertumbuhan global semakin baik berbanding laporan kemas kini WEO edisi Julai.

Menurutnya, pertumbuhan adalah perlahan berikutan ketidaktentuan dan perlindungan walaupun kejutan daripada tarif itu adalah lebih kecil berbanding jangkaan awal.

Pada asas akhir tahun, pertumbuhan global diunjurkan perlahan kepada 2.6 peratus pada 2025 daripada 3.6 peratus pada 2024.

Ekonomi maju diunjur berkembang kira-kira 1.5 peratus pada 2025 hingga 2026, dengan pertumbuhan perlahan Amerika Syarikat kepada 2.0 peratus.

“Pasaran sedang pesat membangun dan ekonomi membangun diunjur menyederhana melebihi sedikit daripada 4.0 peratus," katanya.

IMF turut mengunjurkan kadar inflasi global menyusut kepada 4.2 peratus pada 2025 dan 3.7 peratus pada 2026 dengan variasi yang ketara antara negara.

Jumlah perdagangan dunia pula diunjur berkembang pada kadar purata 2.9 peratus untuk tempoh 2025 hingga 2026 dengan sokongan pelaksanaan awal dasar pada 2025, namun masih perlahan berbanding kadar pertumbuhan 3.5 peratus pada 2024.

Sementara itu, IMF turut menggesa kalangan penggubal dasar untuk memulihkan keyakinan melalui dasar yang berwibawa, telus dan mampan.

Diplomasi perdagangan perlu diselaraskan dengan penyesuaian makroekonomi manakala penampan fiskal perlu dibina semula, kebebasan bank pusat perlu dikekalkan, dan usaha ke atas reformasi struktur perlu digandakan, menurutnya.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita