Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

IMF sahkan rancangan perluas bantuan kecemasan bantu negara tangani krisis makanan

Anggaran Waktu Membaca:
IMF sahkan rancangan perluas bantuan kecemasan bantu negara tangani krisis makanan

Logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). (Gambar: Zach Gibson/AFP)

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pada Selasa (13 Sep) mengesahkan bahawa ia sedang berusaha untuk memperluaskan pembiayaan kecemasan bagi negara-negara yang dilanda lonjakan harga makanan dan kekurangan makanan yang tercetus akibat peperangan di Ukraine, dengan menilai sekitar 20 hingga 30 negara memerlukan bantuan mendesak.

Pengarah Urusan IMF Kristalina Georgieva mengatakan para anggota lembaga eksekutif dana itu "sangat positif" tentang cadangan krisis makanan apabila mereka bertemu secara tidak rasmi pada Isnin (12 Sep). Cik Georgieva berharap mereka akan meluluskannya bagi membolehkan pengagihan dana dengan lebih pantas.

Rancangan tersebut, pertama kali dilaporkan oleh Reuters pada Isnin (12 Sep), akan membolehkan IMF untuk menghulurkan pembiayaan kecemasan tambahan tanpa syarat kepada negara-negara yang dilanda teruk krisis makanan, dicetuskan oleh perang Rusia terhadap Ukraine serta inflasi global berikutan pandemik COVID-19.

"Apa yang kami sarankan adalah untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan kecemasan selama setahun kepada negara yang paling mudah terdedah," kata Cik Georgieva semasa acara yang dianjurkan oleh Pusat bagi Pembangunan Global.

Beliau menjelaskan perubahan itu akan memberi manfaat kepada negara pengimport makanan berpendapatan rendah yang telahpun menyaksikan kos mereka melambung naik atau negara lain seperti Ukraine yang eksportnya terjejas akibat peperangan.

Cik Georgieva mengatakan program itu akan disediakan kepada negara-negara yang belum terikat dengan program IMF yang lebih besar.

Beliau menganggarkan kira-kira 50 negara layak menerima pembiayaan tersebut, di mana 20 hingga 30 daripadanya dijangka mempunyai keperluan lebih mendesak.

Jurucakap IMF, Gerry Rice, berkata dana itu sudah mengagihkan AS$268 bilion (S$376 bilion) kepada 93 negara sejak pandemik melanda dan sedang meneliti "semua pilihan untuk mempertingkatkan kit alat kami termasuk membantu negara-negara yang terkesan oleh krisis makanan."

Perbincangan lanjut dirancangkan bersama lembaga eksekutif untuk memastikan kelulusan rasmi bagi perubahan itu, kata beliau.

Cadangan yang dibincangkan pada Isnin (12 Sep) akan meningkatkan buat sementara had akses sedia ada dan membolehkan semua negara anggota meminjam sehingga tambahan 50 peratus kuota IMF masing-masing di bawah Instrumen Pembiayaan Pantas IMF.

Negara berpendapatan rendah boleh memanfaatkan Kemudahan Kredit Pantas, menurut sumber yang mempunyai maklumat tentang rancangan itu.

Cik Georgieva berharap ia akan diluluskan tepat pada masanya untuk mesyuarat tahunan dana berkenaan pada bulan Oktober ini.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan