IMF bimbang keretakan ekonomi global akan jejas hasil pengeluaran sejagat hingga 7%
Perpecahan ekonomi sejagat yang teruk selepas integrasi ekonomi yang meningkat selama berdekad-dekad lamanya mungkin mengurangkan pengeluaran ekonomi global sebanyak 7 peratus.
Logo Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). (Gambar: Zach Gibson/AFP)
Namun, kerugiannya boleh mencecah antara 8 hingga 12 peratus di sesetengah negara sekiranya ia tidak mendakapi teknologi, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam satu laporan yang membentangkan saranan-saranan baru.
IMF menyatakan keretakan walaupun terbatas sekalipun mungkin boleh menyaksikan hasil dalam negeri kasar (GDP) ekonomi global susut 0.2 peratus. Bagaimanapun, lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk menilai kos anggaran pada sistem kewangan antarabangsa dan jaringan keselamatan kewangan global (GFSN).
Laporan yang dikeluarkan pada lewat Ahad (15 Jan) itu turut menarik perhatian bahawa aliran barangan dan modal sejagat mendatar sejak selepas krisis kewangan melanda dunia antara 2008 hingga 2009 dan lonjakan pada sekatan perdagangan disaksikan pada tahun-tahun berikutnya.
"Pandemik COVID-19 serta pencerobohan Rusia di Ukraine selanjutnya menguji hubungan antarabangsa dan meningkatkan keraguan terhadap manfaat globalisasi," Reuters memetik laporan itu.
Menurutnya, mempertingkatkan hubungan perdagangan berhasil mengurangkan kemiskinan sejagat selama bertahun-tahun dan pada masa yang sama ia turut memberi manfaat kepada para pengguna berpendapatan rendah di ekonomi-ekonomi maju menerusi harga yang lebih rendah.
IMF menyatakan kajian sedia ada membayangkan bahawa semakin terserlah keretakan itu, maka lebih banyak kos yang perlu ditanggung, dengan kekurangan penggunaan teknologi meningkatkan dengan ketara kerugian akibat sekatan perdagangan.
Ia menarik perhatian bahawa ekonomi pasaran baru dan negara-negara berpendapatan rendah berkemungkinan paling berisiko, sedang ekonomi global beralih kepada "penyerantauan kewangan" dan sistem pembayaran global yang berpecah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.