Skip to main content

Dunia

Imam, guru penolong kanan antara 14 individu disyaki pengikut Millah Abraham didakwa di mahkamah syariah Malaysia

Anggaran Waktu Membaca:
Imam, guru penolong kanan antara 14 individu disyaki pengikut Millah Abraham didakwa di mahkamah syariah Malaysia

Gambar hiasan: Istock

Diterbitkan : 06 Aug 2024 09:52PM Dikemas Kini : 06 Aug 2024 09:59PM
BATU PAHAT: Seorang imam dan guru penolong kanan antara 14 individu disyaki pengikut ajaran sesat Millah Abraham yang dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah pada Selasa (6 Ogos) atas pertuduhan mengingkari pihak berkuasa agama serta memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Mereka terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita berusia 30 hingga 70 tahun yang didakwa secara berasingan atas satu atau dua pertuduhan mengikut Seksyen 9 dan Seksyen 13 (1) (b) Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Johor) 2003.
Dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda RM3,000 (S$888) atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan, selain dikenakan pelucutan hak dan juga sesi kaunseling.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas kesemua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Syarie, Mohd Syahir Sahab, dipetik daripada agensi berita BH Online.

Prosiding itu adalah sebutan bagi memindahkan kes mengikut daerah masing-masing (dakwaan tempat kejadian) selari dengan Seksyen 67 enakmen sama.

Mereka kemudian dibenarkan ikat jamin sebanyak RM5,000 (S$1,481) bagi setiap pertuduhan dikenakan dengan dua penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Pendakwa Syarie, Ahmad Wafi Abdullah, manakala semua tertuduh tiada diwakili peguam.

Sebelum ini, kesemua tertuduh dibawa menaiki van Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ) dengan dikawal ketat anggota penguat kuasa dan polis.

Berdasarkan fakta kes, mereka ditahan dalam operasi khas di beberapa daerah negeri itu, termasuk Segamat, Muar, Batu Pahat dan Pontian, 1 Ogos lalu, lapor BH Online.

Dalam serbuan itu, seramai 17 individu ditahan kerana disyaki pengikut ajaran Millah Abraham sebelum dibawa ke jabatan agama untuk disoal siasat.

Sebelum itu, JAINJ mengesan penyebaran ajaran Millah Abraham susulan laporan polis diterima berhubung pergerakan anggota kumpulan terbabit.

Hasil siasatan awal mendapati mereka dipercayai turut cuba menyebarkan ajaran itu kepada ahli keluarga dan masyarakat di negeri tersebut, lapor BH Online.

Ajaran tersebut difatwakan haram pada 2019 oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

Antara fahaman salah ajaran sesat itu ialah ahlinya percaya sembelihan dibuat bukan ahli adalah tidak sah, selain mempercayai kewujudan nabi baharu dan mempunyai syahadah berbeza.

Mereka juga cuba menggabungkan tiga agama membabitkan Yahudi, Nasrani dan Islam, selain menghuraikan ajaran al-Quran berdasarkan fahaman sendiri tanpa berdasarkan kitab tafsir.
Sumber : Agensi berita/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita