Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Imam dipenjara dua tahun seludup pendatang seberang Selat Inggeris

Seorang imam dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di utara Perancis atas kesalahan membantu pendatang menyeberangi Selat Inggeris dengan menggunakan bot getah.

Anggaran Waktu Membaca:
Imam dipenjara dua tahun seludup pendatang seberang Selat Inggeris

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 04 Jun 2019 02:03PM Dikemas Kini : 04 Jun 2019 02:12PM

BOULOGNE-SUR-MER, PERANCIS: Seorang imam dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh mahkamah di utara Perancis atas kesalahan membantu pendatang menyeberangi Selat Inggeris dengan menggunakan bot getah.

Imam berusia 39 tahun dan berasal dari Iran itu yang diberikan suaka politik di Perancis dituduh membantu menyeludup masuk pendatang haram dari utara Perancis ke England sejak Disember lalu.

Turut didakwa ialah seorang lelaki dari Senegal yang sering menghadiri masjid di mana imam berkenaan memberi ceramah agama di Rouen. Dia dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan diharamkan dari melawat Nord dan Pas-de-Calais di utara Perancis selama tiga tahun.

Imam tersebut pengsan sejurus selepas mendengar hukuman dijatuhkan.

Akhbar Le Figaro semalam (3 Jun) melaporkan, kedua-dua lelaki berkenaan mengaku membantu membekalkan enam atau tujuh bot getah selepas ditahan pada April lalu.

Siasatan bermula pada akhir Mac apabila pasukan separa polis menemui jaket keselamatan, baju sejuk dan bot getah yang masih basah terdampar di pantai utara Perancis ketika sedang meronda.

Siasatan lanjut membawa kepada penemuan dua bot, tiga enjin dan jaket keselamatan di rumah imam tersebut.

Kedua-dua lelaki itu akhirnya mengaku membeli tujuh bot getah antara Disember 2018 dan April 2019.

Imam itu memberitahu mahkamah bahawa dia ke kedai di Deulemont, di sempadan Belgium, untuk membeli bot-bot bagi seseorang yang hanya dikenali sebagai Kamal.

Kedua-dua tertuduh berkata bahawa mereka hanya mengetahui bot-bot tersebut digunakan oleh para pendatang bagi penyeberangan haram di Selat Inggeris.

"Apabila saya mengetahui perkara itu, saya teringat budak-budak dalam bot dan memberitahu diri saya bahawa kematian boleh berlaku," menurut lelaki warga Senegal itu. Imam itu pula berkata dia "malu".

Pihak pendakwa raya berkata penjelasan mereka "tidak memaparkan realiti" dan imam itu sering berada di kawasan bot-bot itu dijumpai.

Sumber : AFP/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan