Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ikan masin pilihan juadah bersahur orang Kedah

Setiap kali tiba bulan Ramadan, kaum ibu lazimnya sentiasa ‘pening’ memikirkan hidangan atau juadah yang perlu disediakan untuk berbuka puasa atau bersahur.

Anggaran Waktu Membaca:
ALOR SETAR: Setiap kali tiba bulan Ramadan, kaum ibu lazimnya sentiasa ‘pening’ memikirkan hidangan atau juadah yang perlu disediakan untuk berbuka puasa atau bersahur.

Tambahan pula, kehendak dan selera anak-anak yang pelbagai perlu juga diberi perhatian.

Namun, bagi sebilangan besar masyarakat di Kedah, satu hal yang tidak pernah dilupakan setiap kali tibanya bulan penuh kemuliaan bagi umat Islam itu ialah hidangan ikan masin untuk bersahur, menurut laporan Astro AWANI.

Biar semoden mana sekalipun masyarakatnya, tradisi menjamu keluarga dengan ikan masin tidak pernah dilupakan.

Ikan masin atau masam ibarat goreng pisang panas kerana ia wajib ada di setiap rumah untuk pembuka selera terutamanya ketika bersahur.

Bagi seorang pengusaha ikan masin dan masam di Kuala Kedah, beliau tidak menang tangan untuk membuat ikan kering itu selepas menerima banyak tempahan pada tahun ini, demikian menurut Astro AWANI.

Menurut Chempaka Ladun, 43 tahun, ikan yang menjadi pilihan adalah put-put, kebasi (selangat), tamban, gelama, senangi, tengerong dan talang.

Setiap hari, katanya, lebih 30 kilogram pelbagai jenis ikan akan dibersihkan sebelum dijemur di atas para di hadapan rumahnya.

Katanya, isi ikan nipis dan lebih rangup apabila digoreng dan diletak sedikit bawang.

“Ikan masin ini penambah selera, kadang-kadang orang tua dan orang muda dan budak-budak pun suka makan sebab nak makan untuk (juadah) yang lain tak ada selera dah, (nak makan) ayam pun tak mahu. Ini (ikan masin) pembuka dan penutup selera sahur dan juga berbuka puasa,” katanya seperti dinukil Astro AWANI.

Dibantu adiknya Salwa Ladun, 31 tahun, kerja memproses dan menjemur dapat dipercepatkan.

Menurut Salwa, cuaca panas terik di Kedah ketika ini banyak membantu proses pengeringan.

Katanya, dalam masa lima jam dia sudah mampu mengumpul 15 kilogram ikan yang siap dikeringkan.

“Permintaan (ikan masin) di bulan puasa memang tinggi. Dari segi ikan pula, gelama masam yang paling orang mintak banyak.

“Pelanggan tidak kira ada datang dari luar, ada dari kawasan dekat-dekat sini. Ikan masin jadi pilihan orang Kedah sebab benda ini mudah disiapkan, orang kata makanan utama orang Kedah.

“Ikan masin sedap dimakan dengan nasi kosong walaupun tiada kuah, setiap kali puasa memang orang cari yang ini untuk dimakan tidak kira waktu berbuka ataupun sahur,” ujar Cik Salwa.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan