Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ikan lumba-lumba di perairan Tanjung Tuan tarik perhatian warganet

Kehadiran ikan lumba-lumba di perairan Port Dickson merupakan saat “emas” bagi orang ramai apabila berpeluang melihat sendiri aksi spesies marin itu, sekali gus merakamkan kejadian itu seperti yang tular di laman sosial Facebook pada Rabu (6 Mei).

Anggaran Waktu Membaca:
Ikan lumba-lumba di perairan Tanjung Tuan tarik perhatian warganet

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 07 May 2020 03:47PM Dikemas Kini : 07 May 2020 03:51PM

PORT DICKSON: Kehadiran ikan lumba-lumba di perairan Port Dickson merupakan saat “emas” bagi orang ramai apabila berpeluang melihat sendiri aksi spesies marin itu, sekali gus merakamkan kejadian itu seperti yang tular di laman sosial Facebook pada Rabu (6 Mei).

Rakaman berdurasi 43 saat itu, memaparkan aksi sekumpulan empat ekor ikan lumba-lumba di perairan Tanjung Tuan dan ia dikongsi menerusi akaun Facebook ‘N9 INFO TRAFFIC’ serta mendapat ribuan ‘like’, ratusan ‘share’ dan pelbagai reaksi dalam kalangan warganet.

Namun, fenomena itu adalah perkara biasa bagi golongan nelayan dan Jabatan Perikanan Negeri Sembilan (JPNS).

Pengarah JPNS Halimi Abu Hanip berkata ikan lumba-lumba spesies itu memang biasa dijumpai di perairan Malaysia dan adalah spesies mamalia marin yang dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985.

“Jadi nelayan kita tidak dibenarkan untuk tangkap ikan tersebut. Kita berharap semua pihak supaya tidak mengganggu haiwan berkenaan kerana ia merupakan haiwan marin yang dilindungi bersama paus, dugong, penyu, yu gergaji, yu sirip putih besar, yu tukul dan pari manta,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Encik Halimi berkata tidak dinafikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan ketika ini memberi kesan baik terhadap alam sekitar.

“Ia menunjukkan dengan ketiadaan aktiviti perikanan rekreasi, aktiviti penangkapan ikan yang tidak bertanggungjawab, aktiviti rekreasi air di Port Dickson dan ketiadaan orang ramai, maka hidupan marin itu yang selalunya berkeliaran jauh akan lebih berani menghampiri kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sembilan Abu Bakar Dawam berkata kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan nelayan ketika berada di laut.

“Bagi nelayan kewujudan ikan lumba-lumba itu sudah biasa kami lihat dan apabila orang awam ternampak buat pertama kali mungkin mereka agak terkejut dan teruja melihat ikan lumba-lumba di permukaan air,” katanya.

Beliau yang kali terakhir melihat ikan lumba-lumba di laluan kapal kargo di perairan Tanjung Tuan pada bulan Disember tahun lalu, berkata ikan-ikan lumba suka mengekori kapal sebab suka bermain alun di depan kapal.

“Ikan lumba-lumba suka bermain dan kadang-kadang ikut bot kita dan terus berada di depan bot. Saya berasa seronok melihat gelagat ikan lumba-lumba itu dan sedikit sebanyak mengurangkan kepenatan kami mencari rezeki di laut,” katanya. 

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan