Ikan emas 'gergasi' ditemui di tasik Amerika Syarikat; cetuskan amaran jangan lepaskan ikan peliharaan sembarangan
Sebuah bandar di Minnesota, Amerika Syarikat menggesa penduduknya agar tidak melepaskan semula ikan peliharaan mereka secara sembarangan ke sumber air semula jadi selepas menemui spesies ikan emas bersaiz gergasi di sebuah tasik.

(Gambar: Bandar Burnsville)
AMERIKA SYARIKAT: Sebuah bandar di Minnesota, Amerika Syarikat menggesa penduduknya agar tidak melepaskan semula ikan peliharaan mereka secara sembarangan ke sumber air semula jadi selepas menemui spesies ikan emas bersaiz gergasi di sebuah tasik.
Ikan peliharaan itu boleh membesar menjangkau saiz luar biasa apabila ia dibebaskan ke habitat asal dan ini akan mencetuskan gangguan terhadap ekosistem, menurut laporan BBC.
Dalam satu catatan Twitter pada 9 Julai, pihak berkuasa bandar raya Burnsville berkongsi gambar yang menunjukkan beberapa ekor ikan emas raksasa yang berjaya ditangkap dalam satu operasi tinjauan di Tasik Keller.
Kejadian itu dikatakan akan menyebabkan mutu air berkurangan selain daripada menjejas jumlah sedimen dan hidupan laut.
"Tolong jangan lepaskan ikan emas anda ke dalam kolam atau tasik," menurut catatan Twitter itu pada 9 Julai lalu, seperti dinukil laporan BBC.
Di Minnesota, ikan emas dianggap sebagai spesies invasif, bermaksud ia tidak boleh dilepaskan ke kawasan perairan.
Seekor ikan emas peliharaan kebiasaannya berukuran sepanjang kira-kira lima sentimeter.
Namun apabila ia dilepaskan ke dalam sungai atau tasik, pegawai hidupan liar memaklumkan ia boleh membesar jauh lebih daripada itu dan membiak dengan cepat, seterusnya mendominasi spesies ikan di kolam itu.
Dalam amarannya, pihak berkuasa menasihati pemilik haiwan peliharaan untuk mempertimbangkan pilihan lain jika tidak lagi mampu untuk memelihara ikan tersebut.
Laporan BBC itu juga menyatakan masalah yang sama dihadapi bandar berdekatan iaitu Carver County, di mana 50,000 ekor ikan emas dikeluarkan dari sebatang anak sungai pada Oktober tahun lalu.
Ia sebahagian daripada rancangan selama tiga tahun untuk mengkaji dan menguruskan spesies tersebut.
Namun, AS bukan satu-satunya negara yang berdepan masalah ekosistem akibat perbuatan melepaskan ikan emas ke tasik secara sembarangan.
Pada tahun 2017, dewan bandar raya Munich di Jerman memaklumkan jumlah ikan emas yang luar biasa di dalam tasik dan sungai menyebabkan ikan-ikan lain tidak mendapat makanan yang mencukupi.
Situasi itu bertambah buruk sehingga pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan amaran akan mendenda sesiapa sahaja yang melepaskan ikan peliharaan mereka ke dalam tasik dan sungai.
Ikan emas gergasi juga pernah ditemui di kawasan perairan United Kingdom. Pada 2010, seorang pemancing berjaya menangkap ikan emas seberat 2.2kg dari sebuah tasik di Dorset.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.