Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

'ICU penuh'; pekerja barisan hadapan, hospital China makin terbeban dek COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
BEIJING: Sepanjang lebih tiga dekad bekerja dalam bidang perubatan kecemasan, doktor yang berpangkalan di Beijing, Howard Bernstein berkata beliau belum pernah berdepan dengan situasi seperti ini.

Jumlah pesakit yang dimasukkan ke hospital semakin meningkat dan hampir kesemuanya adalah warga emas.
Ramai daripada mereka yang sakit mengalami gejala COVID-19 seperti radang paru-paru, kata beliau.

Gambaran yang dipaparkan oleh Encik Bernstein serupa dengan sentimen-sentimen yang dikongsi oleh para kakitangan perubatan lain di merata China yang juga sedang bergelut menangani lonjakan kes jangkitan COVID-19 selepas sekatan-sekatan ketat dilonggarkan pada bulan ini.

Ia diikuti dengan gelombang jangkitan COVID-19 di seluruh negara.

Ia merupakan penularan terbesar sejak pandemik melanda bandar Wuhan tiga tahun lalu.

Hospital-hospital dan rumah-rumah mayat bergelut menangani permintaan yang semakin meningkat.

"Hospital sangat terbeban," dedah Encik Bernstein kepada Reauters selepas menamatkan syif yang sangat "tertekan" di Hospital Beijing United Family milik sektor swasta di timur ibu kota Beijing.

"ICU (Unit Jagaan Rapi) penuh," begitu juga jabatan kecemasan, klinik demam dan wad-wad lain, katanya.

Sejak bulan lalu, Encik Bernstein sudah berubah daripada tidak pernah merawat pesakit COVID-19 kepada berpuluh-puluh pesakit dalam sehari.

Di kawasan-kawasan lain di China, para kakitangan perubatan memberitahu Reuters bahawa sumber-sumber sedia ada sudahpun sampai ke tahap di mana mereka tidak dapat bertahan lagi dan kadar jatuh sakit dalam kalangan kakitangan juga sangat tinggi.

Seorang jururawat yang berpangkalan di bandar barat Xian berkata 45 daripada 51 jururawat yang bertugas di jabatannya dan kesemua kakitangan di jabatan kecemasan sudahpun dijangkiti koronavirus sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

"Terlalu banyak kes positif dalam kalangan rakan-rakan kerja saya," kata jururawat berusia 22 tahun bernama Wang.

"Hampir kesemua doktor juga sudah dijangkiti virus tersebut."

Cik Wang dan jururawat-jururawat di hospital lain berkata bahawa mereka telah diberitahu supaya terus bertugas dan melaporkan diri di tempat kerja sekalipun mereka diuji positif dan mengalami demam.

KADAR PESAKIT YANG MAUT AKIBAT COVID-19

Para doktor yang diwawancara oleh Reuters memberitahu agensi berita itu bahawa mereka sangat bimbang tentang warga emas kerana berpuluh-puluh ribu daripada mereka mungkin maut, menurut anggaran para pakar.

Lebih 5,000 orang mungkin meninggal dunia setiap hari akibat jangkitan COVID-19 di China, menurut anggaran firma data kesihatan yang berpangkalan di Britain, Airfinity.

Perangkaan tersebut sangat berbeza dengan data rasmi dari Beijing mengenai penularan jangkitan virus tersebut.

Tiada kematian akibat COVID-19 dilaporkan di China selama enam hari hingga Ahad (25 Dis), Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China mengumumkan pada Ahad meskipun rumah persemadian menghadapi permintaan yang meningkat.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan