Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ICC keluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia atas tuduhan jenayah perang

Anggaran Waktu Membaca:
ICC keluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia atas tuduhan jenayah perang

Presiden Rusia Vladimir Putin mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan menerusi video di Kremlin di Mosko pada 17 Mac 2023. (Gambar: Mikhail Metzel/Sputnik/AFP)

THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada Jumaat (17 Mac) mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin atas tuduhan jenayah perang kerana mengusir kanak-kanak Ukraine secara haram. 

ICC, yang berpangkalan di The Hague, menyatakan ia juga mengeluarkan waran terhadap Maria Lvova-Belova, pesuruhjaya presiden Rusia bagi hak asasi kanak-kanak, atas tuduhan serupa. 

Kremlin menolak arahan tersebut sebagai "tidak sah". Rusia bukan anggota ICC, justeru, ia tidak jelas bagaimana atau sama ada Putin boleh diserah balik. 

Ukraine mengalu-alukan pengumuman ICC itu, dengan ketua pendakwa negara berkata waran tangkap "bersejarah" terhadap Putin "hanya satu permulaan". 

Notis mahkamah yang mengejutkan itu dikeluarkan beberapa jam menyusuli berita-berita lain yang berpotensi menjejas dengan ketara perang Rusia di Ukraine. Ini termasuk lawatan Presiden China Xi Jinping ke Mosko dan lebih banyak jet pejuang bagi pasukan tentera Kyiv. 


Lebih 16,000 kanak-kanak Ukraine dipindahkan secara paksa ke Rusia sejak pencerobohan bermula pada 24 Februari 2022, menurut Kyiv, dengan ramai daripada mereka dipercayai diletakkan di institusi-institusi serta rumah anak angkat. 

Waran itu, yang dikeluarkan selepas satu permohonan oleh pendakwa ICC Karim Khan, adalah bagi "apa yang dipercayai sebagai jenayah perang mengusir kanak-kanak dari wilayah Ukraine ke Persekutuan Rusia" sejak pencerobohan, katanya. 

Presiden ICC Piotr Hofmanski menambah, "pelaksanaan (waran) bergantung kepada kerjasama masyarakat antarabangsa". 

Sumber : AFP/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan