Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

ICC akan siasat 'jenayah perang' di wilayah Palestin

Ketua pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata pada Jumaat (20 Dis) bahawa beliau akan membuka penyiasatan penuh terhadap jenayah perang yang didakwa berlaku di wilayah-wilayah Palestin. langkah itu mencetuskan kemarahan Israel dan kecaman dari Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
ICC akan siasat 'jenayah perang' di wilayah Palestin

Kepulan asap kelihatan di Carikan Gaza menyusuli hari kedua serangan udara Israel pada 13 Nov 2019 (Gambar: AFP/Mahmud Hams)

Diterbitkan : 21 Dec 2019 05:37PM Dikemas Kini : 21 Dec 2019 05:39PM

THE HAGUE: Ketua pendakwa raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkata pada Jumaat (20 Dis) bahawa beliau akan membuka penyiasatan penuh terhadap jenayah perang yang didakwa berlaku di wilayah-wilayah Palestin. langkah itu mencetuskan kemarahan Israel dan kecaman dari Amerika Syarikat.

Rakyat Palestin mengalu-alukan langkah ICC itu yang disifatkan sebagai "lama tertangguh" ekoran siasatan awal hampir lima tahun oleh pendakwa tersebut ke atas situasi sejak peperangan di Gaza pada 2014.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata keputusan itu membuat mahkamah yang berpangkalan di Hague itu sebagai sebuah "alat politik" terhadap negara Yahudi.

Israel enggan berdaftar ke ICC sejak mahkamah tersebut ditubuhkan pada 2002.

Dalam satu kenyataan, pendakwa ICC Fatou Bensouda berkata terdapat "sebab munasabah untuk meneruskan siasatan ke atas situasi di Palestin".

"Secara tuntas, saya berpuas hati bahawa jenayah perang dilakukan atau sedang dilakukan di Tebing Barat, termasuk Timur Baitulmakdis dan Carikan Gaza," tambah beliau, tanpa menyebutkan pihak yang didakwa melakukan jenayah itu.

AS PERNAH UGUT PENJARAKAN HAKIM ICC JIKA TENTANG ISRAEL

"Kami secara tegas menentang tindakan ini dan sebarang tindakan lain yang bertujuan untuk menyasarkan Israel secara tidak adil," kata Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo berhubung sekutu utama Washington di rantau tersebut.

"Kami tidak berpendirian bahawa Palestin memenuhi syarat sebagai sebuah negara berdaulat, maka itu mereka tidak layak mendapat keahlian penuh, atau mengambil bahagian sebagai sebuah negara dalam sebarang badan, entiti, atau persidangan antarabangsa, termasuk ICC."

Isu tersebut adalah amat sensitif, dengan bekas penasihat keselamatan negara John Bolton pada tahun lalu mengancam untuk menahan para hakim ICC jika mereka bertindak melawan Israel atau Amerika Syarikat.

Kedua-dua negara itu enggan berdaftar ke mahkamah itu yang ditubuhkan pada 2002 sebagai satu-satunya tribunal antarabangsa yang membicarakan jenayah, jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan yang paling teruk secara antarabangsa.

"ALAT POLITIK"

Cik Bensouda melancarkan siasatan awal pada Januari 2015 ke atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Israel dan wilayah Palestin, berikutan perang Gaza pada 2014.

Sebuah siasatan lengkap ICC mungkin membawa kepada pertuduhan terhadap individu. Negara-negara tidak boleh dikenakan dakwaan oleh ICC.

"Palestin mengalu-alukan langkah ini sebagai langkah yang sudah lama tertangguh untuk meneruskan proses siasatan, selepas siasatan awal selama sepanjang lima tahun yang panjang dan sukar," menurut kenyataan Palestin.

Encik Netanyahu bagaimanapun menyelar apa yang disifatkannya sebagai "hari yang gelap bagi kebenaran dan keadilan".

"Keputusan pendakwa ICC menjadikan Mahkamah Jenayah Antarabangsa suatu alat politik untuk menghakis status sah Negara Israel," kata beliau.

Siasatan awal ICC mengkaji peperangan 2014 yang menyebabkan 2,251 warga Palestin terkorban, kebanyakannya orang awam, dan 74 lagi di pihak Israel, kebanyakannya askar.

Ia juga menyiasat keganasan berhampiran sempadan Israel-Gaza pada 2018.

Awal bulan ini, pendakwa raya ICC enggan menjatuhkan dakwaan berhubung serangan Israel pada 2010 ke atas sebuah flotilla membawa bantuan ke Gaza, dan mendesak supaya siasatan ditutup.

Sembilan warga Turki meninggal dunia pada Mei 2010 apabila pasukan marin Israel menyerbu Mavi Marmara, antara lapan kapal yang cuba membolosi sekatan laut di Carikan Gaza. Seorang lagi meninggal dunia di hospital pada 2014.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan