Skip to main content

Dunia

ICAO putuskan Rusia bertanggungjawab tembak jatuh pesawat MH17

Anggaran Waktu Membaca:
ICAO putuskan Rusia bertanggungjawab tembak jatuh pesawat MH17

Pesawat MH17 terhempas dari ketinggian 30,000 kaki di wilayah Ukraine selepas ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak di negara berkenaan. (Gambar: AP)

Diterbitkan : 13 May 2025 08:48AM Dikemas Kini : 13 May 2025 08:53AM
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) memutuskan bahawa Rusia bertanggungjawab terhadap insiden tembakan ke atas pesawat Malaysia Airlines MH17.

Insiden itu mengorbankan kesemua 298 penumpang dan anak kapal, termasuk 196 warga Belanda serta 38 warga dan penduduk Australia pada 2014.

Keputusan itu diumumkan menerusi kenyataan berasingan oleh pemerintah Belanda dan Australia pada Isnin (12 Mei), yang menyifatkannya sebagai satu langkah penting ke arah keadilan serta tanggungjawab terhadap mangsa dan keluarga mereka.

Pesawat MH17 berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014 sebelum ditembak jatuh di ruang udara timur Ukraine ketika pertempuran sengit antara puak pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Pada November 2022, mahkamah di Belanda telah menjatuhkan hukuman bersalah terhadap dua rakyat Rusia dan seorang warga Ukraine atas kesalahan membunuh, walaupun ketiga-tiga tertuduh tidak hadir di perbicaraan tersebut.

Rusia ketika itu menyifatkan keputusan tersebut sebagai "memalukan" dan enggan mengekstradisi warganya.

Menurut Menteri Luar Belanda, Caspar Veldkamp, keputusan ICAO menyampaikan mesej jelas bahawa sesebuah negara tidak boleh melanggar undang-undang antarabangsa tanpa dikenakan tindakan.

“Keputusan ini adalah satu langkah penting dalam usaha mencari kebenaran dan menuntut keadilan bagi kesemua mangsa MH17 serta ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, Belanda dan Australia akan terus mendesak agar ICAO mengarahkan Rusia untuk memulakan rundingan berkaitan pembayaran pampasan.

Menteri Luar Australia Penny Wong turut mengalu-alukan keputusan itu sambil menggesa ICAO agar mempercepatkan proses menentukan bentuk ganti rugi yang sewajarnya.

“Kami menyeru Rusia supaya bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan keganasan yang dahsyat ini dan memenuhi kewajipan antarabangsa untuk membayar pampasan,” tegas beliau.

ICAO yang beribu pejabat di Montreal tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan undang-undang, namun ia memainkan peranan penting dalam menetapkan piawai penerbangan global yang diterima pakai oleh majoriti 193 negara anggotanya.

Kes terhadap Rusia dibawa ke ICAO pada tahun 2022 oleh pemerintah Belanda dan Australia, yang sejak awal lagi konsisten menuntut keadilan terhadap tragedi MH17.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita