Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu tunggal 'telan' herdikan, kutip barangan terpakai demi besarkan 4 anak

Berdepan pelbagai reaksi negatif termasuk herdikan dan kata-kata kesat ketika mengutip barangan terpakai tidak sedikit pun mematahkan semangat seorang ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39 tahun, untuk meneruskan pekerjaan itu demi membesarkan empat anak perempuannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tunggal 'telan' herdikan, kutip barangan terpakai demi besarkan 4 anak

Ibu tunggal Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39 tahun, mengayuh kereta sorongnya yang dipenuhi dengan barangan terpakai yang dikutip untuk dijual ke kedai barangan terpakai.

MELAKA: Berdepan pelbagai reaksi negatif termasuk herdikan dan kata-kata kesat ketika mengutip barangan terpakai tidak sedikit pun mematahkan semangat seorang ibu tunggal, Umi Nur Faizah Fauzan Ali Halimi, 39 tahun, untuk meneruskan pekerjaan itu demi membesarkan empat anak perempuannya.

Umi Nur Faizah, yang mesra dipanggil Umi, berkata beliau terpaksa melakukan pekerjaan yang dianggap "kotor, jijik dan busuk" itu sejak lebih lima tahun lalu di sekitar Kawasan Perindustrian Malim di Melaka. Beliau menggunakan kereta sorong untuk mengangkut barangan terpakai yang dikutipnya.

"Biasalah manusia...ada yang kasihan bila melihat saya mengutip barangan terpakai, ada yang menghina sebabnya saya bergelumang dengan sampah.

"Itu semua terpaksa saya telan sehingga dah jadi perkara biasa bagi saya. Apa yang lebih penting adalah mencari rezeki untuk besarkan anak-anak," luahnya kepada Bernama pada Ahad (17 Apr).

Umi berkata sepanjang Ramadan, beliau akan mula mencari kotak dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang dan pendapatan yang diraih bergantung kepada jenis barangan terpakai yang berjaya dikutipnya.

Menurut Umi, pendapatan yang diperoleh pernah hanya sekitar RM10 (S$3) sahaja walaupun sudah seharian bekerja. Namun, pernah juga ia mencecah hingga lebih RM100 (S$32) sehari jika bernasib baik mengutip besi, aluminium atau tembaga.

Umi berkata kedaifan hidup mereka sekeluarga ditempuhi dengan berlapang dada, sentiasa bersyukur dan mengutamakan keperluan berbanding nafsu atau keinginan.

"Cukup atau tidak pendapatan yang saya dapat sebulan, saya kena cukupkan juga. Kita jangan lihat atau bandingkan dengan kehidupan orang lain kerana sampai bila-bila pun tidak akan cukup.

"Saya bersyukur kerana anak-anak faham dengan apa yang mereka lalui dan tidak pernah meminta atau cerewet tentang makanan," katanya yang turut bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah RM50 (S$16) sehari kecuali pada bulan Ramadan.

Umi berkata dua anaknya, berusia enam dan sembilan tahun, sering menemaninya mengutip barangan terpakai manakala dua lagi anak remaja perempuannya, berumur 13 dan 15 tahun, terpaksa dihantar ke sebuah madrasah di Alor Gajah bagi memastikan mereka mendapat pendidikan serta perhatian yang lebih baik ekoran kesibukannya mencari rezeki.

Menurut Umi, keempat-empat anaknya menerima bantuan keseluruhan sebanyak RM650 (S$200) sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, bantuan makanan bernilai RM200 (S$60) daripada Majlis Agama Islam Melaka serta RM50 (S$16) sebulan untuk tiga anaknya yang berusia sembilan, 13 dan 15 tahun.

Umi berkata beliau sangat berhati-hati dengan perbelanjaan harian mereka bagi memastikan bantuan dan pendapatan yang diperolehi digunakan sebaik mungkin, terutama untuk membayar sewa rumah serta membeli barangan dapur.

Mengenai persiapan Hari Raya Aidilfitri, Umi berkata setakat ini, beliau belum dapat membeli pakaian baru untuk anak-anak dan dirinya. Sebaliknya, beliau lebih mementingkan makanan dan keperluan harian mencukupi.

"Sedih memang sedih tetapi tiada pakaian baru bukan bermakna tidak boleh berhari raya seperti orang lain, anak-anak saya faham keadaan mereka," ungkapnya.

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan