Ibu tunggal menganggur lelong durian RM1 demi sara keluarga; laris disambar kurang 3 jam
Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan sesuai bagi seorang ibu tunggal apabila jualan duriannya sebanyak empat tan sehari laris dalam tempoh kurang tiga jam.

Ibu tunggal, Tengku Nor Amira Tengku Razaman, mengambil inisiatif menjual durian sehingga serendah RM1 sekilogram selepas ramai yang merungut tidak mampu membeli kerana harganya yang mahal. (Gambar: BERNAMA)
TUMPAT: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan sesuai bagi seorang ibu tunggal apabila jualan duriannya sebanyak empat tan sehari laris dalam tempoh kurang tiga jam.
Tengku Nor Amira Tengku Razaman, 31 tahun, berkata beliau mengambil inisiatif menjual durian serendah RM1 sekilogram (S$0.30) selepas ramai yang merungut tidak mampu membeli raja buah itu kerana harganya yang mahal.
Menurut Cik Tengku Nor Amira, harga buah itu yang mahal sehingga mencecah puluhan ringgit bagi sekilogram menyebabkan golongan B40 termasuk mereka yang terjejas pendapatan dalam tempoh pandemik ini tidak mampu membelinya untuk dimakan bersama keluarga.
“Selepas menerima beberapa keluhan dan rungutan, saya mengambil inisiatif untuk berniaga raja buah ini dengan harga yang rendah, sekali gus kesemua lapisan masyarakat dapat membelinya.
“Kebiasaannya, saya akan memborong bekalan durian dengan pembekal di Jeli pada harga yang murah, untuk membolehkan saya menjualnya semula dengan harga yang rendah,” ujarnya ketika ditemui wartawan di gerai duriannya di laluan utama Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, pada Isnin (2 Ogos)
Bercerita lanjut, Cik Tengku Nor Amira berkata beliau terpaksa berhenti kerja di sebuah kolam udang di Puncak Jalil, Selangor, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak April lepas.
Selepas pulang ke kampung halaman, beliau terdetik untuk memulakan perniagaan buah durian dengan dibantu oleh enam ahli keluarga yang lain.
“Pada awal perniagaan saya mengambil risiko dengan membelanjakan sejumlah RM2,700 (S$860) untuk membeli bekalan durian sebanyak 400 kilogram daripada pembekal di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong.
“Alhamdulillah, ternyata usaha dan risiko yang diambil sangat berbaloi apabila kini saya mampu menjual sebanyak empat tan durian sehari dengan hasil jualan melebihi RM5,000 (S$1,600) walaupun ia dijual dengan harga yang murah iaitu sekitar RM1 hingga RM2 sekilogram (S$0.30-S$0.60) bergantung kepada jenis durian,” ungkapnya yang menjual durian jenis kampung.
Cik Tengku Nor Amira berkata walaupun durian yang dijualnya sangat murah, beliau tetap menjaga mutu durian dengan memastikan hanya buah elok sahaja yang dijual untuk mengelakkan pembeli kecewa.
Seorang pembeli, Rokiah Husin, 66 tahun, berkata beliau sanggup beratur panjang di gerai milik Tengku Nor Amira untuk membeli durian murah.
“Setakat ini, saya tidak pernah jumpa peniaga durian yang menjual harga yang sangat murah ini. Syukurlah, sekurang-kurangnya golongan yang tidak berkemampuan pun dapat merasai raja buah ini walaupun hanya sekali setahun,” luahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.