Ibu tunggal ini akhirnya dapat rumah sendiri selepas 20 tahun
Selepas 20 tahun menyewa dan melalui perit jerih membesarkan anak, seorang ibu tunggal mampu mengukir senyuman pada Isnin (22 Apr) apabila beliau kini memiliki rumah sendiri hasil bantuan Program Sayangi Rakyat inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Majlis penyerahan kunci rumah Projek Rumah Sejahtera di bawah Program Sayangi Rakyat dan Kempen Keselamatan Kebakaran. (Gambar: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Pulau Pinang/Facebook)
BALIK PULAU: Selepas 20 tahun menyewa dan melalui perit jerih membesarkan anak, seorang ibu tunggal mampu mengukir senyuman pada Isnin (22 Apr) apabila beliau kini memiliki rumah sendiri hasil bantuan Program Sayangi Rakyat inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Hanya ucapan syukur yang dapat dizahirkan Zarina Yusof, 49 tahun, yang akhirnya berjaya memperolehi kediaman sendiri untuk berteduh bersama tiga anaknya sejak pemergian suaminya 10 tahun lalu.
“Setelah lebih 20 tahun menyewa, Alhamdulillah hari ini dapat memasuki rumah milik saya sendiri, rasa lega yang teramat dan rasa sempurna hidup ini,” katanya ketika ditemui para wartawan selepas majlis penyerahan kunci rumah bagi Projek Rumah Sejahtera di bawah program berkenaan.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Moktar dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd Tuah Ismail.
Cik Zarina berkata selama ini, beliau hanya mampu menyewa rumah dengan bayaran sewa RM300 (S$98.40) sebulan dengan bekerja sebagai seorang operator pengeluaran di sebuah kilang di Bayan Baru dan tidak pernah membuat sebarang permohonan bantuan rumah secara langsung.
"Saya dipilih menerusi senarai eKasih dari kerajaan negeri dan memenuhi kriteria yang ditetapkan sebagai penerima bantuan rumah ini," katanya.
Sementara itu, Encik Saadon berkata pembinaan rumah yang berkeluasan kira-kira 52 meter persegi itu menelan kos belanja keseluruhannya sebanyak RM40,000 (S$13,120).
"Rumah struktur batu bata dua bilik ini mengambil masa kira-kira lima bulan untuk disiapkan dan konsep perlaksanaan kerja adalah secara gotong-royong melibatkan lima orang anggota bomba yang terlibat sepenuh masa," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.