Ibu tunggal elak gangguan seksual menyamar jadi lelaki demi besarkan anak
Gambar: Agensi berita
NEW DELHI: Sukar untuk meneruskan kehidupan sebagai ibu tunggal dengan gangguan seksual melampau, seorang wanita di India nekad mengubah penampilan diri.
Ibu anak satu yang dikenali dengan nama Petchiammal sanggup menyamar menjadi seorang lelaki selama 36 tahun lamanya demi menjaga anak beliau dalam suasana selamat, lapor Sinar Harian menukil rencana daripada portal india.com.
Jalan cerita wanita tersebut sangat menyedihkan.
Wanita berasal dari Kampung Kattunayakanpatti, Tamil Nadu, itu dikatakan kematian suami tercinta ketika usianya 20 tahun, menurut portal india.com.
Mendiang meninggal dunia selepas 15 hari mereka berkahwin dan ketika itu, Petchiammal disahkan mengandungkan anak sulungnya.
Hilang mata pencarian membuatkan beliau sanggup bekerja di tapak pembinaan, kedai makan dan hotel demi meneruskan kelangsungan hidup.
Namun, lapor portal tersebut, akibat sering diganggu lelaki di tempat kerja selama lebih sebulan, Petchiammal mengambil tindakan ekstrem untuk menjadi lelaki.
Muthu adalah nama samaran pilihan wanita itu.
Pada waktu itu, anak perempuan Petchiammal, Shanmugasundari, masih kecil.
Oleh kerana tidak mahu dirinya terus diganggu, Petchiammal turut mengubah penampilannya dengan memotong rambut dan berpakaian persis lelaki.
Identiti asal wanita itu hanya diketahui oleh saudara-mara terdekat dan anaknya sahaja, menurut portal tersebut.
BERTEGAS MAHU KEKALKAN IDENTITI SEBAGAI MUTHU
'Penyamaran' itu berlangsung dalam jangka masa yang lama.
Kini, kehidupannya dilaporkan makin stabil dan anaknya pula sudahpun mendirikan rumah tangga.
Sungguhpun demikian, Petchiammal dalam laporan berkenaan menegaskan beliau mahu mengekalkan identitinya sebagai Muthu buat selama-lamanya.
Ini kerana, terang Petchiammal, walaupun sudah berusia 57 tahun, beliau masih belum bersedia untuk kembali menjadi wanita.
"Dunia sekarang ini masih belum selamat," kata beliau.
Memang tidak boleh dinafikan, kes gangguan seksual, rogol dan liwat di India memang menggerunkan lebih-lebih lagi kebanyakan mangsanya adalah kanak-kanak kecil dan kaum Hawa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.