Skip to main content

Dunia

Ibu tunggal didakwa bunuh anak kandung

 Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret hari ini (22 Jan) atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap anak kandungnya yang berusia dua tahun 10 bulan pada 13 Januari lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tunggal didakwa bunuh anak kandung

(Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 22 Jan 2020 04:11PM Dikemas Kini : 22 Jan 2020 04:13PM

JOHOR BAHRU: Seorang ibu tunggal didakwa di Mahkamah Majistret hari ini (22 Jan) atas pertuduhan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap anak kandungnya yang berusia dua tahun 10 bulan pada 13 Januari lalu. 

Nurul Shamira Mazlan, 21 tahun, bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan dan hanya mengangguk faham ketika pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom. 

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan dia didakwa melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian ke atas anak perempuannya, Nur Shahana Abdus Quddus di sebuah pangsapuri di Jalan Kempas Indah, Taman Kempas Indah, Kempas, antara 5 hingga 11 Januari lalu.

Pendakwaan kes itu dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Benedict Choong Kai-Qi manakala tertuduh diwakili oleh tiga peguam iaitu Encik Muhammad Ashraff Mohd Diah, Encik Mohd Norazihan Adnan dan Encik Jack Sumatra.

Majistret Rashidah kemudiannya menetapkan 24 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes, sementara menunggu laporan bedah siasat dan kimia.

Tertuduh sebelum ini ditahan polis bersama teman lelakinya, 33 tahun, pada pukul 3.45 petang, 14 Januari (Selasa) lepas.

Ia menyusuli satu aduan polis yang dibuat oleh Hospital Sultan Ismail (HSI) yang menemui kesan penderaan pada badan kanak-kanak itu ketika dibawa oleh ibunya untuk mendapatkan rawatan setelah mengalami jangkitan kuman.

Sementara itu, Encik Muhammad Ashraff memberitahu pemberita di luar mahkamah bahawa teman lelaki tertuduh sudah dibebaskan dengan jaminan mahkamah dan akan dipanggil semula sebagai saksi kes.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita