Skip to main content

Dunia

Ibu tunggal di Johor ini reda persiapan Aidilfitri musnah akibat cuaca buruk

Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, itulah pepatah yang boleh menggambarkan keadaan seorang ibu tunggal yang terpaksa menanggung nasib apabila pelbagai persiapan Aidilfitri yang dibuat musnah akibat banjir.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu tunggal di Johor ini reda persiapan Aidilfitri musnah akibat cuaca buruk

Persiapan raya Cik Mastura Md Yusof, 55 tahun, musnah akibat banjir yang melanda Kampung Kelantan, Muar, Johor pada Rabu, 19 Mac 2025. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 22 Mar 2025 11:06PM Dikemas Kini : 22 Mar 2025 11:07PM
KOTA TINGGI: Berat mata memandang berat lagi bahu memikul, itulah pepatah yang boleh menggambarkan keadaan seorang ibu tunggal yang terpaksa menanggung nasib apabila pelbagai persiapan Aidilfitri yang dibuat musnah akibat banjir.

Cik Mastura Md Yusof, 55, berkata semangatnya untuk beraya seakan-akan hilang apabila rumah sewa yang didiami selama 15 tahun di Kampung Kelantan dinaiki air setinggi dua kaki pada Rabu (19 Mac), sebelum surut sepenuhnya pada Jumaat malam, dan dibenarkan pulang dari pusat pemindahan sementara (PPS).

“Persiapan raya semua musnah termasuk barang untuk buat kuih raya dan tikar getah yang baru ditukar sempena Aidilfitri kali ini.

“Hendak sambut raya sebenarnya macam tidak ada semangat, tetapi saya kena reda atas dugaan ini dan percaya ketentuan Ilahi yang telah tertulis,” kata ibu anak lima itu ketika ditemui Bernama di rumahnya pada Ahad.

Cik Mastura yang tidak mempunyai pekerjaan dan disahkan menghidap sakit jantung awal tahun ini, bergantung pada pendapatan bulanan sebanyak RM500 (S$151.11) daripada Baitulmal.

Menurutnya, “Saya pernah jatuh dari siling rumah pada 2002 dan sejak itu saya tidak dapat bekerja sebab sakit pinggang, ditambah dengan sakit jantung.

“Melalui pendapatan bulanan bantuan Baitulmal ini saya guna untuk bayar sewa rumah dan selebihnya bagi membeli makanan."

Justeru, dia berharap agar ada pihak yang berbesar hati menyalurkan sumbangan kepada mangsa yang terjejas banjir seperti dirinya, memandangkan Aidilfitri bakal tiba tidak lama lagi.

Sementara itu, juruteknik Mohd Afrizat Hamrizan, 33 tahun, meluahkan kerisauan berikutan cuaca yang masih tidak menentu meskipun penduduk telah dibenarkan pulang ke rumah pada pagi Ahad.

“Kampung Kelantan ini adalah antara lokasi yang kerap banjir dan air lambat surut.

“Jadi, memang ada kerisauan sebab cuaca masih tidak menentu, takut banjir lagi. Ditambah dengan berpuasa kena bersihkan rumah, memang agak mencabar dan memenatkan,” katanya yang menetap di kampung itu sejak 12 tahun lalu.

Pada masa yang sama, Encik Afrizat berkata Aidilfitri kali ini disambut hanya ala kadar sekali gus mahu mementingkan kerja-kerja pembersihan rumah yang berlumpur dan menggantikan barangan yang rosak, daripada mengeluarkan wang untuk membeli persiapan perayaan.

Awal dari itu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk di sekitar bandar raya Kota Tinggi yang terjejas membersihkan rumah mereka selepas banjir surut sepenuhnya pada Jumaat malam. 

Setakat pukul 12.00 tengah hari pada Sabtu, 13 PPS di Kota Tinggi telah ditutup, melibatkan 1,582 mangsa, manakala dua lagi PPS, iaitu SK Sungai Telor dan SK Semangar, masih beroperasi menempatkan 108 mangsa.

Pada Sabtu, jumlah mangsa banjir di Johor menurun setakat pukul 12.00 tengah hari, iaitu 10,630 orang daripada 3,049 keluarga di enam daerah, berbanding 11,743 orang daripada 3,337 keluarga pada pukul 10.00 pagi.
Sumber : Bernama/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita