Ibu terus merindui Muhammad Adib
Kehidupan Cik Asma Aziz dihimpit kesedihan ketara dan terus meratapi kehilangan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun. Beliau kini kerap termenung dan sesekali mengalirkan air mata apabila mengenangkan anaknya itu yang meninggal dunia pada Isnin (17 Dis).

Kerajaan Malaysia melantik seorang ahli psikologi untuk mengadakan beberapa sesi bersama keluarga Adib, termasuk ibunya (kanan). (Gambar: BERNAMA)
ALOR SETAR: Kehidupan Cik Asma Aziz dihimpit kesedihan ketara dan terus meratapi kehilangan Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 tahun. Beliau kini kerap termenung dan sesekali mengalirkan air mata apabila mengenangkan anaknya itu yang meninggal dunia pada Isnin (17 Dis).
Ketika ditemui di rumahnya, wanita berusia 51 tahun itu tidak banyak bercakap dan sesekali kelihatan matanya ‘berkaca’ lalu mengesatkan air mata tanda sebak.
Cik Asma berkata beliau juga tidak boleh tidur kerana terlalu merindui Allahyarham yang sememangnya rapat dengannya serta suami, Encik Mohd Kassim Abd Hamid, 63 tahun.
“Ini pun mak cik tak sentuh lagi makanan. Hanya minum sahaja (selepas Muhammad Adib meninggal dunia). Tidak ada selera makan... FB (viral tentang kisah anaknya dalam Facebook) tidak boleh tengok. Ada orang nak tunjuk FB kepada mak cik pun, mak cik tak boleh tengok,” katanya.
Beliau menambah, beliau tidak menyangka Allahyarham yang juga anak kedua daripada empat beradik itu akan pergi meninggalkan mereka sekeluarga secepat itu dan tidak menunjukkan sebarang tanda ketika Allahyarham pulang ke kampung baru-baru ini.
TUNTUT PESALAH DIHUKUM
“Biasa sahaja dia. Tak ada yang pelik. Banyak sembang tentang persiapan kahwin sahaja, lembu untuk kenduri pun sudah ada. Masa dia bertugas waktu itu (semasa rusuhan), dia baru naik kerja dua hari selepas cuti seminggu di kampung.
“Sewaktu dia balik bercuti itu, dia ada bawa balik kereta baru dia (Perodua Myvi). Dia beli untuk tinggalkan di kampung bagi ayah dia naik tetapi ayah dia cakap dekat dia, tidak payah tinggallah. Ayah naik kereta ayah sahaja. Tetapi dia tinggal juga kereta, dia balik semula bekerja naik kereta dengan tunang dia ketika itu, sekarang kereta itu ada di rumah ini,” katanya.
Cik Asma berkata, beliau juga mahu melihat wajah individu yang didakwa memukul Allahyarham Muhammad Adib sehingga menyebabkan kecederaan parah ketika rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lalu.
Katanya, apa yang dilakukan ke atas anaknya adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan dan mahu mereka yang terlibat dibawa ke muka pengadilan dan dijatuhi hukuman setimpal.
Menceritakan mengenai Allahyarham lagi, Cik Asma menyifatkan beliau sebagai seorang anak yang baik dan patuh kepada ibu bapa dan sentiasa mendapatkan pandangan daripada kedua-dua mereka mengenai sesuatu perkara.
MAJLIS PERKAHWINAN DIGANTI MAJLIS TAHLIL
Katanya, Allahyarham juga kerap mengambil cuti ketika musim menanam padi dan pulang ke kampung untuk membantu bapanya membuat kerja di sawah.
Dalam pada itu, Cik Asma berkata majlis perkahwinan Allahyarham Muhammad Adib yang sepatutnya berlangsung pada Ahad ini (23 Dis) berkemungkinan akan digantikan dengan majlis tahlil.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kariah Masjid As-Saadah di Kampung Tebengau, Kuala Kedah kira-kira 1.45 tengah hari kelmarin (18 Dis).
Allahyarham Muhammad Adib, yang bertugas sebagai anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, disahkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada pukul 9.41 malam selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 Nov lepas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.