Ibu tergamak kunci anak dalam but kereta selepas anak positif COVID-19
TEXAS: Seorang guru ditahan selepas disyaki mengunci anaknya yang positif COVID-19 di dalam but kereta kerana ingin melindungi dirinya daripada dijangkiti virus tersebut sewaktu dia memandu ke pusat ujian.
Sarah Beam, 41 tahun dikenakan satu tuduhan menganiaya kanak-kanak, menurut laporan media Texas.
Seorang saksi menelefon polis selepas mendengar bunyi datang daripada but kereta tersebut pada 3 Januari lalu, di tempat kejadian di Harris County, Texas, menurut laman click2Houston.com.
Guru itu dilaporkan membuka but kereta dan seorang kanak-kanak lelaki dilihat terbaring di dalamnya.
Cik Beam berkata anaknya yang berusia 13 tahun itu disahkan positif COVID-19. Dia sedang dalam perjalanan ke Stadium Pridgeon, di mana terletaknya satu lagi pusat ujian untuk mengesahkan keputusan.
Wanita itu juga dilaporkan berbuat sedemikian kerana enggan dirinya dijangkiti.
Seorang kakitangan kesihatan memberitahu wanita berkenaan bahawa beliau tidak akan melakukan sebarang ujian koronavirus selagi remaja lelaki itu tidak dibenarkan keluar dan duduk di kerusi belakang kereta berkenaan, menurut laporan KTRK-TV.
Cik Beam bekerja sebagai seorang guru di Sekolah Tinggi Cypress Falls sejak 2011. Namun, kini diberi cuti pentadbiran, menurut laporan media Texas.
Jabatan Polis Cy-Fair ISD mengumumkan bahawa, "CFPD dimaklumkan bahawa ada seorang kanak-kanak di dalam but kereta di pusat pandu lalu ujian COVID-19 awal minggu ini.
"Pihak penguat kuasa sudah menjalankan siasatan menyeluruh, yang membawa kepada satu waran tangkap dikeluarkan. Mujur, remaja itu tidak cedera."
Sgt Richard Standifer daripada Jabatan Keselamatan Awam Texas memberitahu stesen media tempatan, KHOU 11, bahawa remaja itu mungkin boleh cedera parah jika kereta itu terlibat dalam kemalangan.
"Saya belum pernah dengar kejadian seseorang meletakkan orang lain di dalam but kereta kerana disahkan positif (COVID-19)," kata Sgt Standifer.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.