Skip to main content

Dunia

Ibu sempat solat hajat minta anak cepat ditemui

Ibu kepada anggota bomba yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Mohd Fatah Hashim sempat menunaikan solat hajat sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu oleh menantunya.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu sempat solat hajat minta anak cepat ditemui

Allahyarham Mohd Fatah Hashim sudah berkhidmat selama 13 tahun dengan JBPM. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 04 Oct 2018 06:21PM Dikemas Kini : 04 Oct 2018 06:31PM

KUANTAN: Ibu kepada anggota bomba yang terkorban dalam tragedi di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong, Mohd Fatah Hashim sempat menunaikan solat hajat sebaik dimaklumkan tentang kejadian itu oleh menantunya.

Sharifah Adzam Syed Mohamad berkata beliau amat terkejut sebaik diberitahu tentang kejadian itu oleh menantunya, Nor Nadia Kamaludin pada pukul 10.30 malam.

"Menantu telefon bagi tahu umi, Fatah keluar operasi cari orang lemas, tapi dia hilang dengan lima orang lagi rakan setugasnya, macam mana ni umi?

"Saya ada menyuruhnya bertenang dan sempat solat hajat supaya anak saya dan rakannya selamat, namun tidak lama selepas itu, menantu telefon bagi tahu Allahyarham ditemui lemas bersama lima rakannya," kata beliau ketika ditemui para wartawan di rumahnya hari ini (4 Okt).

Menurut Cik Sharifah Adzam, kali terakhir beliau berjumpa dengan anaknya itu adalah sebelum Hari Raya Aidiladha yang lalu kerana Allahyarham Mohd Fatah terpaksa bertugas semasa Hari Raya.

Anaknya menelefon beliau kali terakhir selepas Hari Raya berkenaan bagi bertanya khabar dan mengucapkan terima kasih kerana mengirimkan nasi berlauk kepadanya.

"Disebabkan dia tidak dapat balik beraya, makcik kirimkan nasi berlauk kepadanya menerusi isterinya yang pulang beraya.

"Selepas itulah dia telefon cakap umi, minta ampun minta maaf umi ya berkali-kali, biasanya dia cakap sekali sahaja," kata Cik Sharifah.

Sementara itu, bapa kepada Allahyarham Mohd Fatah, Hashim Abas, berkata walaupun terkejut dengan tragedi yang menimpa anak kelimanya daripada tujuh beradik itu, beliau reda.

"Ibu bapa mana yang tidak terkejut, anak yang selama ini sihat tiba-tiba tiada (meninggal dunia). Beliau anak yang baik dan selalu mengambil berat tentang keluarga.

"Allahyarham satu-satunya anak saya yang bekerja dengan badan beruniform dan memang dia minat dengan bomba sejak kecil, walaupun tanggungjawab yang dipikulnya berat, namun beliau sedikitpun tidak pernah mengeluh tentang kerjanya," katanya.

BERKHIDMAT SELAMA 13 TAHUN DENGAN BOMBA

Menurut Encik Hashim, Allahyarham sudah berkhidmat selama 13 tahun dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan tempat tugas pertama di Sri Kembangan, Serdang, sebelum ditukarkan ke Pelabuhan Klang empat tahun lalu.

"Saya berharap kerajaan dapat mengenang jasa dan menghargai pengorbanan yang dilakukan Allahyarham dan rakan-rakannya yang terkorban dalam kejadian ini.

"Mereka meninggalkan isteri dan anak-anak masih kecil demi berkhidmat untuk negara," kata beliau, yang merupakan bekas pesara kerajaan yang bertugas dengan Kementerian Pertahanan Malaysia.

Selain Allahyarham, lima lagi anggota bomba yang turut terkorban dalam kejadian itu adalah Izatul Akma Wan Ibrahim, 32 tahun; Mazlan Omarbaki, 25 tahun; Yahya Ali, 24 tahun; Adnan Othman, 33 tahun, dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25 tahun.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira 9.15 malam, enam penyelam berkenaan dilaporkan baru sahaja berada dalam air selama lima minit bagi menjejaki seorang remaja berusia 17 tahun, yang dilaporkan terjatuh ke lombong itu pukul 5.00 petang semalam (3 Okt).

Bagaimanapun secara tiba-tiba datang arus deras menyebabkan semua mangsa terbelit tali yang dipasang di antara satu sama lain, menyebabkan semua mangsa lemas.

LAPORAN BERKAITAN: 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita