Ibu libas 3 anak dengan pisau gara-gara marah barang kemas hilang
Selepas gagal menemui semua barang kemas itu, mangsa dikatakan marah lalu mengambil pisau pemotong daging dan melibas-libas ke arah empat anaknya.

(Gambar hiasan: CNA)
PENAMPANG, SABAH: Berang selepas barang kemasnya hilang, seorang ibu melibas pisau pemotong daging sehingga mencederakan tiga anaknya berusia 10, 12, dan 15 tahun, dalam kejadian di sebuah rumah pangsa.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.00 malam semalam (15 Jan), ketiga-tiga mangsa cedera di tangan, manakala seorang lagi anak wanita itu berusia tujuh tahun tidak cedera, lapor Berita Harian Malaysia.
Ketua Polis Daerah Penampang, Timbalan Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati ketika kejadian, suspek meminta semua anaknya mencari cincin dan seutas gelang tangan yang dipercayai hilang sejak Ahad lalu (7 Jan).
"Selepas gagal menemui semua barang kemas itu, mangsa dikatakan marah lalu mengambil pisau pemotong daging dan melibas-libas ke arah empat anaknya dengan tujuan ada anak mengaku mengambil barang kemas suspek.
"Akibat kejadian itu, tiga anaknya terkena libasan di bahagian tangan dan seorang lagi tidak cedera.
"Semua mangsa kemudian melarikan diri dan meminta bantuan jiran untuk mendapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia Taman Ketiau," katanya ketika dihubungi, hari ini (16 Jan).
Susulan itu, Encik Mohd Haris berkata polis menahan wanita berusia 34 tahun itu di rumahnya pada jam 10.00 malam hari sama, lapor Berita Harian Malaysia.
"Polis turut merampas sebilah pemotong daging dipercayai digunakan ketika kejadian itu" katanya seperti yang dipetik Berita Harian Malaysia Online.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.