Ibu kota baru Indonesia tawar peluang pembangunan namun berisiko menjejas alam sekitar
Pengumuman untuk memindahkan ibu kota Indonesia ke wilayah Kalimantan Timur membuka peluang untuk mengalihkan tumpuan pembangunan ke bahagian-bahagian lain gugusan pulau itu.

Jakarta akan menjadi bandar raya membangun pertama yang memegang gelaran bandar raya mega terbesar di dunia, dengan 35.6 juta penduduk pada 2030. (Gambar: Reuters)
JAKARTA: Pengumuman untuk memindahkan ibu kota Indonesia ke wilayah Kalimantan Timur membuka peluang untuk mengalihkan tumpuan pembangunan ke bahagian-bahagian lain gugusan pulau itu.
Namun para pakar dan aktivis berpendapat bahawa kesan buruk kepada alam sekitar perlu dielakkan.
Pakar ekonomi Kresnayana Yahya dari Universiti ITS di Surabaya berkata keputusan pemerintah itu akan meningkatkan ekonomi Kalimantan kerana ia akan disepadukan dengan pulau-pulau lain.
Buat masa ini, 65 peratus ekonomi Indonesia berpusat di pulau Jawa.
Encik Yahya menambah bahawa struktur geologi Kalimantan Timur lebih sesuai untuk pembinaan bandar baru berbanding Kalimantan Tengah, iaitu tapak alternatif yang dipenuhi hutan.
Jakarta menghadapi masalah pencemaran udara, kesesakan jalan raya yang teruk dan tenggelam sehingga 20 sentimeter setahun.
Ibu kota baru yang diumumkan Presiden Joko Widodo pada Isnin (26 Ogos) sebahagiannya akan ditempatkan di Penajam Paser Utara dan sebahagian lagi di Kutai Kartanegara, Kalimantan Timur - yang kaya dengan bahan galian.
Menurut pemerintah, ia akan dibangunkan sebagai sebuah bandar bijak dan menghijau.
"Kita tidak boleh terus membebankan Jakarta dan Jawa dari segi kepadatan penduduk, kesesakan, pencemaran dan sumber air," kata Presiden Joko Widodo dalam pengumumannya yang disiarkan di televisyen.
Beliau menyenaraikan beberapa sebab Kalimantan Timur dipilih sebagai ibu kota baru dan pusat pentadbiran pemerintah.

Kedua-dua wilayah tidak terdedah kepada bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tsunami, kebakaran hutan, letupan gunung berapi atau tanah runtuh, seperti di kebanyakan bahagian Indonesia.
Pemerintah juga memiliki 180,000 hektar tanah di daerah itu yang terletak di kawasan strategik di tengah-tengah negara tersebut, berdekatan bandar utama Balikpapan dan Samarinda.
Di bawah rancangan Encik Widodo, para kakitangan pemerintah akan dipindahkan ke ibu kota baru itu sementara pusat perniagaan akan dikekalkan di Jakarta.
Langkah untuk memindahkan semula ibu kota itu dirundingkan sejak 1957 apabila Presiden pertama Indonesia Soekarno mengusulkan pemindahan ibu kota tanah jajahan Belanda itu dari Jakarta ke Palangkaraya, Kalimantan Tengah.
Presiden kedua Soeharto kemudian merancang untuk memindahkannya ke Jonggol, Jawa Barat pada 1997.
KERAGUAN PENCINTA ALAM SEKITAR
Meskipun pemerintah berjanji untuk melindungi alam sekitar dan Kalimantan Timur daripada menjadi seperti Jakarta, para pencinta alam sekitar meluahkan keraguan mereka.
Rangkaian Sokongan Perlombongan JATAM percaya pemindahan ibu kota itu hanya akan membawa manfaat kepada pemegang konsesi dan para pemilik tanah yang merosakkan alam sekitar.
Buat masa ini, 1,190 lesen perlombongan dikeluarkan di Kalimantan Timur dan 625 di Kutai Kartanegara, menurut data JATAM.
Permit bagi sekitar 13.83 juta hektar dikeluarkan dan 5.2 juta daripadanya adalah permit perlombongan, dakwa NGO itu.
JATAM juga mendakwa rakyat tidak dirujuk. "Rakyat berhak menyuarakan pendapat mereka dan ia jelas dinafikan... para penduduk Kalimantan Timur, termasuk orang asli tidak diberi peluang meluahkan pendapat mereka," kata jurucakap JATAM Merah Johansyah dalam satu kenyataan.
MERANCANG DARI AWAL
Memandang ke hadapan, perancang bandar yang berpangkalan di Jakarta Sibarani Sofian berkata pembinaan ibu kota baru itu akan membolehkan pihak berkuasa bermula dari awal dan memastikan ia merancangnya dengan betul.
"Ibu kota baru itu perlu dibina secara menyeluruh dan bukan dengan cara biasa dan tergesa-gesa.
Singapura adalah contoh yang baik dari aspek rek a bina bandar tropika. Mereka (pemerintah) perlu mengkaji pelbagai kes dan belajar daripada pelbagai sumber. Bukan sahaja daripada kisah teladan, tetapi juga daripada kegagalan," kata beliau.
Encik Sofian juga menjelaskan bahawa ibu kota baru harus berasaskan kepada penduduk dan bukan kenderaan. Disebabkan itu, sistem pengangkutan yang luas perlu dilaksanakan sebelum kereta-kereta privet memenuhi bandar itu.
"Ini sangat munasabah kerana mereka mereka membentuk sebuah bandar daripada permulaan," kata beliau sambil menambah bahawa ia juga harus mempunyai ciri-ciri Indonesia yang tersendiri.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.