Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Ibu enggan menyusahkan anak-anak walaupun uzur dan kesempitan wang

Seorang ibu tunggal yang mempunyai masalah kesihatan serta tiada pendapatan, merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang dialami demi kelangsungan hidupnya bersama dua anak dan seorang cucu.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu enggan menyusahkan anak-anak walaupun uzur dan kesempitan wang

(Gambar hiasan: Sebastien Bozon/AFP)

Diterbitkan : 04 Oct 2019 02:41PM Dikemas Kini : 04 Oct 2019 02:52PM

KOTA BHARU: Seorang ibu tunggal yang mempunyai masalah kesihatan serta tiada pendapatan, merayu bantuan orang ramai bagi meringankan beban yang dialami demi kelangsungan hidupnya bersama dua anak dan seorang cucu.

Cik Hasnah Senik, 59 tahun, berkata beliau sebelum ini yang bekerja di sebuah kilang papan di bandar ini terpaksa berhenti kerja apabila kesihatannya mula merosot sejak lebih 30 tahun lalu.

Katanya, beliau tidak pasti penyakit yang dialaminya memandangkan pemeriksaan doktor di sebuah hospital di sini, tidak dapat mengesan punca sebenar yang menyebabkannya berasa pening sepanjang masa selain tidak boleh berdiri dalam tempoh yang lama.

Lebih menyedihkan lagi, anak ketiga daripada empat beradik, Cik Nor Hayati Mohd Nawi, 36 tahun, yang juga berstatus ibu tunggal turut mengalami nasib yang sama sejak setahun lalu.

“Sebelum ini Nor Hayati mengambil upah membuat dan menjual kuih di sekitar kampung ini dengan pendapatan harian sebanyak RM20 (S$6.59) untuk menyara anaknya, Nor Fatihah Amanda Roji, 6 tahun, selepas bercerai dengan bekas suaminya sejak tiga tahun lalu,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Binjai di sini, semalam.

Cik Hasnah berkata Cik Nor Hayati bagaimanapun tidak mampu bekerja selepas kesihatannya merosot sejak setahun lepas.

Beliau berkata tugas untuk menyara keluarga digalas sepenuhnya oleh anak bongsunya, Encik Mohd Rizal, 32 tahun, yang bekerja di sebuah kedai membuat cermin di Kubang Kerian dengan pendapatan kira-kira RM50 (S$16.48) sehari.

“Dengan upah itu jugalah digunakan untuk membantu perbelanjaan sekolah anak saudaranya yang merupakan pelajar prasekolah Sekolah Kebangsaan Mentuan,” katanya.

Cik Hasnah berkata ada ketika Encik Mohd Rizal terpaksa mengambil cuti apabila keadaan kesihatan beliau dan Cik Nor Hayati membimbangkan dan hanya mampu terlantar sepanjang hari.

“Anak saya juga bernasib baik kerana majikannya memahami keadaan ini apabila kerap mengambil cuti untuk menguruskan kami di rumah ketika sakit,” katanya.

Cik Hasnah berkata walaupun beliau menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM150 (S$49.46) sebulan namun tidak mencukupi menyebabkannya sekeluarga terpaksa berjimat-cermat.

“Ada ketika kami sekeluarga terpaksa makan nasi putih berlaukkan ikan kering dan berkuahkan kicap, selain terpaksa mengalas perut dengan hanya biskut kering dan juga air teh,” kata ibu tunggal empat anak itu.

Beliau berkata walaupun mempunyai dua lagi anak yang lain, mereka hanya melakukan kerja kampung dan sekadar mampu menyara keluarga masing-masing.

“Kalau boleh saya tidak mahu menyusahkan mereka kerana masing-masing sudah mempunyai komitmen dan bukannya dalam kalangan orang senang,” katanya.

Sumber : Bernama/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan