Ibu dan anak ditemui mati dalam kereta di Johor
Kebocoran saluran minyak petrol dipercayai menjadi punca kematian pasangan ibu dan anak yang ditemui mati dalam sebuah kereta BMW di tepi jalan berhadapan sebuah sekolah di Bandar Baru Uda pada lewat Khamis (23 Jan).

(Gambar: Harian Metro)
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara ACP Balveer Singh berkata wanita berusia 42 tahun itu ditemui dalam kereta miliknya bersama anak perempuan berusia 14 tahun dengan keadaan enjin masih hidup oleh orang awam, pada jam 9.30 malam.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat kebocoran saluran minyak petrol di bahagian enjin sekali gus menyebabkan pemeluwapan dan memasuki saluran pendingin hawa kereta berkenaan.
“Dipercayai mereka berdua pergi membeli-belah di sekitar Bandar Baru Uda dan berhenti di lokasi kejadian untuk berehat sebentar," kata ACP Singh dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara pada Jumaat (24 Jan).
“Wanita tersebut turut mengadu tidak berapa sihat dan ingin berhenti (memandu) untuk berehat, berdasarkan perbualan terakhir di sebuah group Whatsapp telefon bimbit wanita itu.”
Encik Balveer berkata pihaknya sedang melakukan siasatan berhubung tempoh masa wanita bersama anak bongsunya itu yang tinggal di Bakar Batu berada di lokasi kejadian.
Beliau berkata setakat ini kematian dua beranak itu tidak mempunyai unsur jenayah dan pihaknya akan menyemak rekod kesihatan wanita tersebut.
“Kita juga sedang mendapatkan beberapa maklumat lain termasuk pekerjaan ibu tiga anak itu namun setakat ini belum diperoleh memandangkan suami mangsa yang bekerja di Singapura masih dalam keadaan sedih,” katanya.
Menurutnya, mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan kes disiasat sebagai mati mengejut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.