Ibu bapa Korea Selatan bantah langkah wajibkan pas vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak
Beberapa persatuan ibu bapa di Korea Selatan hari ini (9 Dis) mengadakan tunjuk perasaan menentang pas vaksinasi COVID-19 yang diwajibkan ke atas kanak-kanak. Pas itu bertujuan membendung penularan virus tersebut dalam kalangan remaja.
Seorang pelajar memakai pelitup semasa peperiksaan peringkat nasional untuk kemasukan ke universiti di Korea Selatan pada 3 Dis 2020. (Gambar: AP/Kim Hong-ji)
SEOUL: Beberapa persatuan ibu bapa di Korea Selatan hari ini (9 Dis) mengadakan tunjuk perasaan menentang pas vaksinasi COVID-19 yang diwajibkan ke atas kanak-kanak. Pas itu bertujuan membendung penularan virus tersebut dalam kalangan remaja.
Dari bulan Februari, mereka yang berumur 12 tahun dan ke atas harus menunjukkan pas vaksinasi untuk memasuki tempat-tempat awam, seperti pusat tuisyen, perpustakaan dan juga kafe belajar. Setakat ini, had umur ditetapkan pada 17 tahun.
Tindakan itu mencetuskan rasa tidak puas hati antara sebilangan ibu bapa yang tidak mahu membenarkan anak-anak mereka mendapatkan vaksin disebabkan kesan-kesan sampingan yang mungkin timbul dan juga laporan-laporan jangkitan COVID-19 walaupun sudah divaksin.
Sekurang-kurangnya 70 anggota persatuan-persatuan tersebut berkumpul di depan bangunan Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KCDA) di bandar Cheongju hari ini, sambil menjulang papan-papan tanda yang tertera "Diktator Vaksin".
Tinjauan pendapat yang dijalankan oleh satu kumpulan aktivis minggu ini mendapati 93 peratus daripada lebih 18,000 ibu bapa menentang idea mewajibkan pas vaksin ke atas para pelajar.
Para pegawai kesihatan juga berkata vaksin dapat melindungi individu daripada gejala-gejala serius dan kadar kesan sampingan teruk yang dilaporkan dalam kalangan remaja lebih rendah berbanding orang dewasa.
Pas vaksin yang diwajibkan itu diperluaskan untuk meliputi para remaja di Korea Selatan sedang jumlah kes COVID-19 melonjak menyusuli pembukaan semula sepenuhnya pembelajaran di sekolah-sekolah pada November.
Daripada 100,000 kanak-kanak, 210 kes dilaporkan dalam tempoh empat minggu, manakala daripada jumlah sama orang dewasa, hanya 167 yang diuji positif COVID-19. Menurut data pemerintah, kes baru COVID-19 minggu ini menjangkaui 7,000 buat pertama kali.
Kes jangkitan dalam kalangan kanak-kanak menyumbang kepada 8.3 peratus dalam tempoh dua minggu lalu dan 99.8 peratus daripadanya sama ada belum divaksin atau belum lengkap divaksin.
Hampir 92 peratus orang dewasa di South Korea sudah menerima dos lengkap vaksin dan 11 peratus sudah menerima dos penggalak. Namun, kadar vaksinasi untuk mereka yang berumur antara 12 dengan 17 tahun kekal 34 peratus.
Korea Selatan akan menerima status vaksinasi warga asing yang memasuki negara itu tanpa perlu menjalani kuarantin dan mulai hari ini, mereka layak menerima dos penggalak serta pas vaksin.
Sebelum ini, Korea Selatan hanya menerima status vaksinasi dari negara asing bagi rakyatnya dan warga asing yang memasuki negara itu di bawah pengecualian kuarantin.
Korea Selatan melaporkan 7,102 kes baru koronavirus pada Rabu (8 Dis), rendah sedikit berbanding 7,175 pada hari sebelumnya. Hospital-hospital pula sedang merawat jumlah rekod 857 kes serius COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.