Skip to main content

Dunia

Ibu bapa diingatkan daripada ikut cabaran viral pecahkan telur di dahi anak-anak

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa diingatkan daripada ikut cabaran viral pecahkan telur di dahi anak-anak

(Gambar: kynziflore & yourpediatricot/TikTok)

Amerika Syarikat:Satu trend baru yang digelar "Egg Cracking Challenge", atau cabaran memecahkan telur, melibatkan ibu bapa merakamkan diri mereka memecahkan telur di dahi anak-anak mereka sebagai telatah yang lucu bagi meraih tontonan.

Walaupun ada yang mendapati video itu sebagai sumber hiburan, tidak semua yang sependapat. Beberapa pakar juga memberi amaran terhadap trend TikTok ini.

APAKAH TREND "EGG CRACKING CHALLENGE"?

Hashtag #eggcrackingchallenge itu sudah mendapat lebih 77.4 juta tontonan setakat Isnin (4 Sep), dengan ada beberapa video yang meraih lebih satu juta tontonan setiap satu. Tren viral ini majoritinya mendapat sambutan di Amerika Syarikat.

Cabaran itu melibatkan ibu bapa memecahkan telur di dahi anak kecil tanpa diduga, dan menimbulkan pelbagai reaksi.

Ada yang mempunyai reaksi keliru - "Aduh sakitnya," kata seorang kanak-kanak — dan ada pula yang kelihatan kecewa — “Perbuatan itu tidak baik,” kata yang lain.

Ada juga yang bertindak balas dengan baik dan ketawa bersama manakala yang lain menitiskan air mata sedang ibu bapa mereka ketawa di sisi.

Walaupun segelintir warga maya mendapati video itu "seronok" dan kelakar, sekumpulan lain pula mengkecam ibu bapa kerana mengambil bahagian dalam trend itu..

Seorang YouTuber, Rachel Griffin Accurso, yang juga dikenali online sebagai Ms. Rachel, menentang cabaran itu dan berkata: "Kita perlu sedar bahawa kita tidak sepatutnya menyebabkan sebarang ketidakselesaan secara fizikal atau emosi."

“Anak-anak kecil berasa selamat dan terjamin apabila mereka boleh mempercayai ibu bapa mereka dan kami tidak mahu kehilangan kepercayaan itu,” kata Ms. Rachel dalam video yang disiarkan bulan lalu.

Seorang lagi pengguna TikTok, Sarah, yang mengendalikan akaun "mom.uncharted" khusus untuk menangani eksploitasi kanak-kanak di media sosial, berkata bahawa ramai yang menyuruhnya menyaksikan video-video itu.

"Saya melihatnya dari dua sudut," katanya. "Satu, kanak-kanak itu mendapati telur di kepala dan mereka agak keliru, terperanjat, dan fikir ia agak lucu. Kemudian mereka meneruskan. Atau, mereka mendapati telur itu dipecahkan di kepala dan mereka benar-benar kecewa tentang itu dan mereka mula panik," kata Cik Sarah.

"Tetapi apabila saya melihat video itu saya fikir, adakah kita begitu bosan sebagai ibu bapa dan terdesak untuk membuat kandungan?" tambahnya.

PAKAR PERUBATAN AMARAN TENTANG RISIKO

Doktor dan para pakar memberi amaran bahawa mengambil bahagian dalam trend sedemikian mungkin meletakkan kanak-kanak dengan risiko kecederaan emosi dan dijangkiti salmonella.

"Kami ibarat mencampakkan salmonella di dahi mereka," kata pakar perubatan kecemasan kanak-kanak dan pengguna TikTok Dr Meghan Martin kepada agensi berita Amerika NBC News.

Beliau memberi amaran kanak-kanak dengan salmonella mungkin perlu dikejarkan ke hospital dan memerlukan suntikan ubat cecair.

Telur mentah boleh dicemari bakteria salmonella yang boleh membahayakan kanak-kanak di bawah umur lima tahun, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika.

Gejala keracunan makanan salmonella boleh termasuk cirit-birit, sakit perut, demam, loya dan muntah.

Nasihat Dr Martin disokong oleh pakar perubatan lain, yang menggesa ibu bapa berfikir dua kali sebelum menyertai cabaran itu.

Cik Cath Knibbs, ahli psikoterapi trauma kanak-kanak dari Britain, memberitahu The Washington Post: "Kami bercakap tentang penderaan yang menyamar sebagai perbuatan yang lucu."

“Ia bukan sekadar pecah telur; ia adalah tindak balas ibu bapa yang ketawa. Dalam pandangan kanak-kanak, itu dilihat sebagai penghinaan. Pengalaman itu akibat kekurangan kepercayaan.”

Cik Amanda Mathers, ahli terapi pekerjaan pediatrik, juga menyiarkan amaran terhadap trend itu di TikTok bulan lepas.

"Ketiadaan tindak balas dan penjagaan sokongan yang saya perhatikan dalam banyak video apabila kanak-kanak kecil berkomunikasi bahawa mereka terluka, malu, dan kecewa boleh menjejas pembentukan otak yang sedang berkembang, menjejas pembelajaran dan tingkah laku kemudiannya," katanya.

"Jangka pendek, seorang anak mungkin kehilangan kepercayaan yang mendalam terhadap keselesaan bersama ibu bapa mereka."

 
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita