Skip to main content

Dunia

Ibu bapa di Malaysia diberi pilihan tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang ancaman COVID-19

Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman COVID-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Okt ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa di Malaysia diberi pilihan tidak hantar anak ke sekolah jika bimbang ancaman COVID-19

Para pelajar memakai pelitup di sebuah sekolah di Shah Alam. (Gambar fail: Lim Huey Teng/Reuters)

Diterbitkan : 12 Sep 2021 07:46PM Dikemas Kini : 12 Sep 2021 07:48PM

PUTRAJAYA: Ibu bapa atau penjaga diberi pilihan untuk tidak menghantar anak ke sekolah jika bimbangkan ancaman COVID-19 apabila sesi persekolahan bersemuka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Okt ini.

Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata ketidakhadiran pelajar tidak akan dianggap sebagai satu kesalahan disiplin dan tiada surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar.

“Namun ibu bapa diminta untuk menulis surat bagi memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah,” katanya pada sidang media pengoperasian sekolah hari ini (12 Sep).

Pada Ahad, Radzi mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) akan memulakan sesi persekolahan secara bertemu muka mulai 3 Okt ini mengikut fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri-negeri dan turut akan memperkenalkan kaedah penggiliran murid secara mingguan.

Mengulas lanjut, Radzi berkata pemakaian pakaian seragam sekolah adalah tidak diwajibkan dan murid dibenarkan untuk memakai pakaian yang bersesuaian, kemas dan sopan sekiranya pakaian seragam sekolah sudah tidak sesuai untuk dipakai.

“Kita tidak mahu beri tekanan kepada ibu bapa menyediakan pakaian baru...matlamat kita hanya mahu anak-anak ke sekolah sahaja,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita