Ibu bapa di India tanam anak hidup-hidup ketika gerhana matahari
Sekumpulan ibu bapa di India, yang percaya akan 'ritual penyembuhan', bertindak menanam anak mereka hidup-hidup ketika fenomena gerhana matahari cincin pada Khamis (26 Dis) lalu.

(Gambar: Petikan video menerusi QPay Indonesia/Facebook)
NEW DELHI: Sekumpulan ibu bapa di India, yang percaya akan 'ritual penyembuhan', bertindak menanam anak mereka hidup-hidup ketika fenomena gerhana matahari cincin pada Khamis (26 Dis) lalu.
Sekitar 10 kanak-kanak kurang upaya dimasukkan ke dalam lubang sebelum lumpur dicampakkan kepada mereka yang ditanam sehingga paras leher.
Rakaman video memaparkan kanak-kanak tersebut turut menangis ketika upacara di perkampungan Taj-Sultanpur itu dijalankan walaupun mereka ditemani keluarga masing-masing.
Kesemua kanak-kanak itu dibiarkan dalam keadaan begitu sehingga fenomena tersebut berakhir, iaitu selama tiga jam, lapor laman berita Times of India.
Penduduk setempat memberitahu bahawa ibu bapa yang terlibat dalam ritual tersebut dimaklumkan tentang kelebihan gerhana matahari itu yang didakwa dapat menyembuhkan anak mereka.
Pasukan petugas perlindungan kanak-kanak bergegas ke kampung berkenaan sejurus menerima laporan tentang insiden itu.
"Kami bertindak menyelamatkan kesemua mangsa dan mengarahkan polis supaya menyiasat perkara tersebut.
"Kami juga telah memberi penjelasan kepada mereka supaya tidak terlibat amalan karut seperti itu," kata Timbalan Pesuruhjaya Kalaburagi, B Sharath.
Mangsa-mangsa dipulangkan semula kepada ibu bapa masing-masing selepas diberi sesi kaunseling malah mereka yang terlibat juga diberi amaran tegas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.