Skip to main content

Dunia

Ibu bapa berkempen kumpul dana bagi pembedahan pindah hati anak

"Saya dan suami sudah tiada perasaan malu lagi, apa yang penting sekarang, kami perlu mencari sekurang-kurangnya RM160,000 (S$52,500) untuk menampung kos pembedahan pemindahan hati anak bongsu kami."

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu bapa berkempen kumpul dana bagi pembedahan pindah hati anak

Nur Shahida Chit Wan bersama anak perempuannya, Nur Hayfa yang mengalami penyakit Bilary Artisia. (Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 28 Jan 2019 08:02AM Dikemas Kini : 28 Jan 2019 08:08AM

BUKIT MERTAJAM: "Saya dan suami sudah tiada perasaan malu lagi, apa yang penting sekarang, kami perlu mencari sekurang-kurangnya RM160,000 (S$52,500) untuk menampung kos pembedahan pemindahan hati anak bongsu kami."

Itu yang diluahkan Nur Shahida Chit Wan, 38, apabila beliau dan suaminya, Mohd Azrul Ahmad,40, terpaksa meminta ihsan orang ramai bagi mengumpulkan dana untuk pembedahan Nur Hayfa yang akan dilakukan di Shanghai, China pada 27 Februari ini.

Cik Nur Shahida berkata anaknya, yang kini berusia dua tahun, menghidap penyakit Bilary Artisia atau kegagalan fungsi hati sejak berusia dua minggu dan kini kian lemah setelah hatinya semakin rosak.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata selepas membawa anaknya berjumpa seorang pakar beberapa minggu lalu, mereka dimaklumkan Nur Hayfa perlu menjalani pembedahan segera atau berdepan dengan risiko kematian.

"Suami saya telah bersetuju untuk mendermakan sebahagian hatinya kepada Nur Hayfa namun sekiranya ia tidak sesuai, saya juga bersedia untuk mendermakan hati kepada anak kami.

"Kalau tidak sesuai juga, anak sulung kami Nor Hanis yang berusia 10 tahun juga bersedia untuk mendermakan sebahagian hatinya kepada Nur Hayfa. Kalau tak ada juga yang sesuai, doktor kata mungkin nyawanya dalam bahaya," katanya kepada para wartawan pada Ahad (27 Jan).

Cik Nur Shahida berkata beliau dan suami sebelum ini sudah mengedarkan ratusan risalah di kawasan awam dan masjid-masjid bagi mengumpulkan dana untuk anaknya. Malah, mereka juga menggunakan media sosial seperti Facebook bagi meminta sumbangan daripada orang ramai.

Setakat ini, mereka sudah berjaya mengumpulkan dana sebanyak RM11,500 (S$3,770) dan berharap lebih banyak pihak akan tampil bagi membantu keluarga mereka.

"Saya hanya bekerja sebagai tukang jahit dengan meraih pendapatan yang tidak menentu manakala suami pula tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga dua kakak Nur Hayfa sekiranya dia masuk ke hospital.

"Memang sebelum ini kami menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM ) dan Zakat Pulau Pinang namun tidak mencukupi kerana kos penjagaan Nur Hayfa untuk sebulan mencecah RM1,500 (S$490)," katanya.

Cik Nur Shahida berkata keluarganya bersyukur kerana nasib malang yang mereka alami mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Nadi Permata Malaysia, yang turut berusaha membantu mencari dana dan membawa mereka untuk mendapatkan rawatan di hospital.

Malah katanya, badan bukan kerajaan itu yang membantu menguruskan segala urusan untuk membawa mereka ke Shanghai bagi menjalani pembedahan nanti.

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita