Ibu bapa anjur tunjuk perasaan di Iran setelah pelajar perempuan jatuh sakit disyaki dek keracunan

(Gambar: Tangkapan skrin video @1500tasvir_en/Twitter)
DUBAI: Ibu bapa yang dibelenggu kebimbangan mengadakan tunjuk perasaan di ibu kota Iran, Tehran, dan bandar-bandar lain pada Sabtu (4 Mac) berhubung gelombang disyaki serangan racun.
Demikian lapor agensi berita Iran dan disaksikan dalam video-video yang dikongsikan di media sosial.
Serangan racun itu dilaporkan menjejas para pelajar perempuan di puluhan sekolah di merata Iran.
Penyakit yang setakat ini tiada penjelasannya, menjejas beratus-ratus pelajar perempuan sepanjang tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. Para pegawai Iran percaya para pelajar perempuan itu diracun dan menuduh musuh Tehran sebagai dalangnya, lapor Reuters.
Menteri Kesihatan Iran berkata para pelajar perempuan itu mengalami serangan "racun yang ringan" dan sesetengah ahli politik berpendapat bahawa mereka sudah menjadi sasaran kumpulan Islam tegar yang menentang pendidikan bagi kaum perempuan.
Penyakit itu menjejas lebih 30 sekolah di sekurang-kurangnya 10 daripada 31 wilayah di Iran pada Sabtu. Video-video yang dimuat naik ke media sosial menunjukkan para ibu bapa berhimpun di sekolah-sekolah untuk membawa anak mereka pulang, dengan sesetengah pelajar dibawa ke hospital dengan menaiki ambulans atau bas.
Perhimpunan ibu bapa di luar bangunan Kementerian Pendidikan di barat Tehran pada Sabtu, yang bertujuan untuk mengadakan tunjuk perasaan berhubung penyakit itu, bertukar menjadi bantahan antipemerintah, menurut video yang disahkan Reuters.
Tunjuk perasaan serupa diadakan di dua lagi kawasan di Tehran dan bandar-bandar lain termasuk Isfahan dan Rasht, menurut video-video yang tidak disahkan.
Penularan penyakit dalam kalangan pelajar perempuan itu berlaku ketika waktu genting bagi para pemimpin ulama Iran, yang sudah berdepan bantahan antipemerintah selama beberapa bulan.
Bantahan itu yang tercetus menyusuli kematian seorang gadis Iran di bawah tahanan polis tatatertib yang menguatkuasakan kod pakaian yang tegas.
Catatan-catatan di media sosial sejak beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan gambar-gambar dan video para pelajar perempuan yang jatuh sakit, rasa mual atau mengalami degupan jantung yang laju. Ramai pelajar perempuan lain pula mengadu mereka mengalami sakit kepala.
Pejabat hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva pada Jumaat (3 Mac) menggesa agar siasatan telus dijalankan ke atas insiden yang disyaki serangan itu. Nnegara-negara seperti Jerman dan Amerika Syarikat (AS) turut meluahkan keprihatinannya berhubung insiden tersebut.
Iran menolak apa yang dianggapnya sebagai campur tangan asing dan "tindak balas terburu-buru" sambil menyatakan pada Jumaat bahawa ia sedang menyiasat punca insiden berkenaan.
"Ia menjadi satu keutamaan mendesak bagi pemerintah Iran untuk menyiasat isu ini dengan secepat mungkin dan menyediakan maklumat untuk meredakan kebimbangan para keluarga serta memastikan para pelakunya dipertanggungjawabkan dan puncanya dikenal pasti," kata jurucakap Kementerian Luar Nasser Kanaani kepada media negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.