Hutang dadah, bukan pertikaian kongsi gelap, punca kes bunuh di stesen minyak JB
Siasatan polis mendedahkan hari ini (22 Dis) bahawa kes pembunuhan kejam melibatkan seorang pengedar dadah dan tailong berusia 44 tahun pada Ahad lalu (17 Dis), bukanlah disebabkan pertikaian kongsi gelap.
(Gambar: Malay Mail Online)
JOHOR BAHRU: Siasatan polis mendedahkan hari ini (22 Dis) bahawa kes pembunuhan kejam melibatkan seorang pengedar dadah dan tailong berusia 44 tahun pada Ahad lalu (17 Dis), bukanlah disebabkan pertikaian kongsi gelap.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (CID) Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata pembunuhan itu adalah kes terpencil dan melibatkan dadah dan hutang, lapor laman Malay Mail.
"Siasatan polis mendedahkan pembunuhan itu adalah akibat hutang dalam kegiatan dadah dan bukan disebabkan kumpulan kongsi gelap seperti yang disangka pada awalnya. Mangsa juga bukan ketua kumpulan kongsi gelap.
"Motif pembunuhan juga dikenal pasti berdasarkan soal siasat yang dijalankan ke atas sepasang individu yang diberkas di Pulau Pinang, yang merupakan yang pertama ditangkap oleh polis berhubung kes itu," katanya di ibu pejabat kontinjen polis Johor.
Turut hadir semasa sidang media di Johor itu adalah Ketua Polis Johor Mohd Khalil Kader Mohd, Ketua CID Johor Azman Ayob dan para pegawai kanan lain.
Pada Selasa lalu (19 Dis), Menteri Ehwal Dalam Negeri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipetik oleh The Star sebagai berkata pertikaian antara dua kumpulan kongsi gelap mungkin menjadi punca pembunuhan kejam tersebut.
Dr Ahmad Zahid juga mendedahkan polis sudah menangkap seorang suspek lelaki dalam lingkungan usia 20-an di Johor Baru semalam (21 Dis) bagi membantu siasatan, menurut laporan Malay Mail Online.
Beliau berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan suspek yang sudah diberkas seramai 14 orang - 10 lelaki dan empat wanita - dalam lingkungan usia antara 16 dengan 26 tahun.
Sejauh ini, polis sudah mengambil lapan keterangan daripada suspek yang diberkas dan juga saksi, termasuk balu mangsa, Tan Aik Chai, rakyat Vietnam yang berusia 32 tahun.
Polis juga sudah membuat permohonan tahanan reman selama tujuh hari bagi tujuh suspek yang diserahkan kepada polis Johor kelmarin (20 Dis).
"Saya juga sudah mengarahkan tiga pasukan dari ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman supaya membantu pasukan bertindak polis Johor dalam siasatan berhubung kes pembunuhan itu," kata Dr Ahmad Zahid, sambil menambah polis bagaimanapun masih belum menjumpai kereta BMW yang digunakan oleh suspek.
Dr Ahmad Zahid berkata polis juga melahirkan penghargaan kepada para pegawai CID Pasukan Polis Singapura atas bantuan mereka memberkas tujuh suspek yang melarikan diri ke republik ini, menurut Malay Mail Online.
"Secara keseluruhannya, polis yakin kes ini akan dapat dihuraikan tidak lama lagi dan sedang dalam proses menggulung siasatan," kata beliau.
Dalam satu rakaman video insiden itu, yang dirakam oleh seorang saksa, mangsa dilihat diserang oleh beberapa orang di sebelah sebuah kereta BMW berwarna putih. Para penyerang kemudian dilihat menggilis mangsa sebanyak dua kali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.