Skip to main content

Dunia

Hutan mengecil punca konflik harimau, manusia

Anggaran Waktu Membaca:
Hutan mengecil punca konflik harimau, manusia

(Gambar: AFP/SAEED KHAN)

Diterbitkan : 13 Nov 2023 11:05AM
KOTA BHARU: Konflik yang melibatkan harimau dan manusia di Gua Musang, Kelantan, sejak baru-baru ini dipercayai berpunca daripada hutan yang semakin mengecil di kawasan itu.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Mohamad Hafid Rohani berkata, keadaan tersebut menyebabkan haiwan liar berkenaan mulai 'berani' mendekati kawasan yang didiami manusia, lapor Sinar Harian.

"Semua orang tahu punca yang menyebabkan harimau mengganas adalah disebabkan habitatnya yang semakin mengecil.

"Ia boleh dilihat apabila tahun ini sahaja sudah tiga individu maut dipercayai akibat serangan harimau.

"Kami (PERHILITAN) telah melakukan pelbagai cara untuk menangani konflik ini antaranya memasang kamera dan perangkap bagi mengesan hidupan liar tersebut," katanya ketika dihubungi pada Ahad (12 Nov).

Mengulas mengenai kejadian serangan yang berlaku pada Khamis (10 Nov) dan Jumaat (11 Nov) lalu, beliau tidak menolak kemungkinan harimau yang sama menyerang kedua-dua mangsa warga Indonesia dan Myanmar.

Ujarnya, setakat ini harimau di dalam hutan ada banyak, namun kemungkinan harimau sama yang menyerang kedua-dua mangsa kerana lokasi kejadian adalah berdekatan iaitu hanya sekitar 10 kilometer, seperti dinukil laporan Sinar Harian.

PERHILITAN sudah melakukan pelbagai cara untuk menangani konflik itu, antaranya memasang kamera dan perangkap bagi mengesan harimau di Gua Musang.

Encik Mohamad Hafid memberitahu bahawa selain memasang kamera dan perangkap, pihaknya memohon kepada pekerja ladang dan persendirian supaya tidak bekerja berseorangan.

Tambah beliau, pilih bekerja secara berkumpulan dan tidak membuat sebarang provokasi kepada hidupan liar.

Mengikut rekod PERHILITAN, kes kecederaan atau kematian manusia akibat diserang harimau belang di Kelantan ialah pada 5 Julai 2021 di Kampung Sau, Pos Bihai membabitkan seorang lelaki Orang Asli yang mengalami kecederaan parah.

Menurut Sinar Harian, harimau belang betina yang menyerang mangsa berjaya ditangkap dan telah ditempatkan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC), Sungkai, Perak.

Kes seterusnya pada 7 Januari 2022, di Kampung Sau, Pos Bihai melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli dan harimau belang yang menyerang mangsa, terpaksa ditembak mati kerana cuba menyerang anggota PERHILITAN semasa operasi.

Kemudian pada 5 Oktober di Pos Pasik, yang melibatkan kematian seorang lelaki Orang Asli di mana pemasangan perangkap masih dijalankan di kawasan lokasi kejadian.

Seterusnya pada 10 November di Ladang Akar Prestige, Meranto melibatkan kematian seorang lelaki warganegara Indonesia.

Terbaharu pada 11 November di Meranto melibatkan kematian seorang lelaki warganegara Myanmar.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita