Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hurai isu domestik; bukan guna dasar asing untuk raih sokongan politik, kata Menteri Pengangkutan M'sia

Anggaran Waktu Membaca:
Hurai isu domestik; bukan guna dasar asing untuk raih sokongan politik, kata Menteri Pengangkutan M'sia

Menteri Pengangkutan M'sia Anthony Loke berucap di forum serantau Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura pada 10 Jan 2023. (Gambar: Facebook/ISEAS - Yusof Ishak Institute)

SINGAPURA: Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke berkata kerajaan harus mengutamakan isu-isu dalam negara yang menjejas rakyatnya untuk mendapatkan sokongan politik dan bukan menggunakan dasar asing.

"Setakat yang saya tahu, saya menghabiskan lebih banyak masa melakukan pemeriksaan mengejut di LRT dan MRT di Kuala Lumpur untuk mendapatkan sokongan politik berbanding bercakap tentang Pulau Batu Puteh atau Pedra Branca," kata beliau semasa berucap di forum serantau Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura hari ini (10 Jan).

"Maka, saya tentu sekali tidak bersetuju bahawa dasar asing adalah permainan politik. Namun saya rasa rakyatnya, terutama sekali orang Malaysia, kini lebih menyedari, apa yang penting adalah bagaimana anda memberikan khidmat? Bagaimana anda memastikan anda menggubal dasar-dasar yang lebih baik dan penguatkuasaan inisiatif kerajaan dengan lebih baik? Saya rasa itulah kuncinya."

Encik Loke berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai pendekatan Malaysia terhadap isu Pedra Branca, dan bagaimana sebahagian pemerhati berkata ahli-ahli politik Malaysia dalam kerajaan cenderung menggunakan dasar asing untuk meraih sokongan.
Pada 14 Disember, Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim berkata beliau sudah meminta Peguam Negara supaya memperjelas tuntutan Malaysia ke atas Pedra Branca, yang mana kemenangan diberikan kepada Singapura pada 2008 oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Ini kali pertama Encik Anwar membangkitkan isu Pedra Branca sebagai pemimpin Malaysia, selepas pendahulu beliau Encik Ismail Sabri berkata pada Oktober bahawa Kabinet beliau bersetuju untuk meneruskan dengan tindakan undang-undang di peringkat ICJ berhubung isu tersebut.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) ketika itu menekankan bahawa Singapura sedia untuk 'pertahan dengan teguh' kedaulatan ke atas Pedra Branca, yang terletak berdekatan laluan masuk di bahagian timur Selat Singapura, sekitar 44 kilometer (km) dari Singapura.

Pertikaian berhubung Pedra Branca bermula sejak 1979, apabila Malaysia menerbitkan peta yang menandakan pulau itu adalah dalam kawasan perairan negaranya.

Perkara itu kemudian dibawa ke ICJ pada 2003, dan pada 23 Mei 2008, ia memutuskan bahawa Singapura berhak ke atas kedaulatan Pedra Branca, sementara Middle Rocks diberikan kepada Malaysia dan Southern Ledge adalah milik negara yang terletak di kawasan perairan yang sama.

"Selepas keputusan Mahkamah dibuat, kedua-dua Singapura dan Malaysia membuat pengumuman terbuka bahawa mereka akan menerima dan mematuhi keputusan Mahkamah yang muktamad," menurut MFA.

"Pada 2017, Malaysia membuat permohonan bagi semakan dan permintaan bagi interpretasi keputusan Mahkamah pada 2008, yang kemudian ditarik balik oleh Malaysia pada 2018.

"Di bawah Undang-Undang Mahkamah, permohonan bagi semakan tidak boleh dibuat selepas tarikh luput 10 tahun daripada tarikh keputusan Mahkamah pada 2008, iaitu Mei 2018."

Hari ini, Encik Loke berkata: "Pertama sekali, jawapan saya adalah ia bukan di bawah bidang kuasa saya. Ia hal ehwal menteri ehwal luar. Ia bukan di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Tetapi saya tidak bersetuju bahawa kami sering menggunakan dasar asing untuk meraih sokongan dalam negara. Saya rasa dari segi praktikal, dan saya boleh mengesahkan bahawa isu-isu domestik - jika kita tangani isu domestik juga - kami boleh memperoleh lebih banyak sokongan."

Encik Loke berkata sasaran beliau adalah untuk mewujudkan khidmat kereta api yang "lebih stabil" di Kuala Lumpur, dengan menarik perhatian bahawa beliau sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Singapura S Iswaran pada Isnin (9 Jan), dan akan bertemu mantan menteri pengangkutan Khaw Boon Wan malam ini.

"Oleh kerana beliau (Encik Khaw) mempertingkat khidmat MRT di Singapura, saya akan bertanya kepada beliau bagaimana beliau melakukannya. Jadi, ini sesuatu yang akan saya bawa pulang ke KL," ujar Encik Loke.

Sistem kereta api awam di Malaysia sering mengalami gangguan.

Pada 9 November, selepas parlimen Malaysia dibubarkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ratusan ribu penumpang di Lembah Klang kecewa setelah 16 stesen LRT ditutup disebabkan kerosakan.

Pada waktu itu, Encik Loke berkata gabungan Pakatan Harapan (PH) akan menjadikan sistem LRT sebagai keutamaan sekiranya diberi mandat pada PRU15.

PH kini sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dipimpin Encik Anwar Ibrahim.

Encik Loke juga ditanya tentang lawatan rasmi pertama Encik Anwar sebagai perdana menteri ke Indonesia dan apa maknanya bagi Singapura.

Semasa lawatan beliau dari Ahad (8 Jan) hingga Isnin (9 Jan), Encik Anwar dipetik sebagai berkata Indonesia adalah negara jiran yang baik dan sahabat yang sebenar.

Encik Loke berkata Encik Anwar meneruskan tradisi kerajaan Malaysia, bahawa lawatan pertama perdana menteri Malaysia adalah ke Indonesia.

"Namun tentu sekali, beliau akan datang ke Singapura bagi lawatan kedua," ujar beliau.

"Jadi jika anda bertanya kepada saya, jika Indonesia adalah sahabat sebenar Malaysia dan Anwar, maka Singapura adalah sahabat terbaik Malaysia dan Anwar."
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan