Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Hukuman sebatan rotan bagi remaja bakar anjing di Johor digugurkan

Anggaran Waktu Membaca:
Hukuman sebatan rotan bagi remaja bakar anjing di Johor digugurkan

Braden Yap (tengah) dan peguamnya G K Sritharan (kanan) di luar Mahkamah Sesyen Johor Bahru. (Gambar: CNA/Amir Yusof)

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Bahru menggugurkan hukuman sebatan rotan bagi seorang remaja 18 tahun yang dituduh melakukan penderaan terhadap haiwan dan membakar seekor anjing.

Hukuman ke atas Braden Yap Hong Sheng dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada April untuk menerima tujuh sebatan ringan rotan dan ditempatkan di bawah bon kelakuan baik selama setahun dengan jaminan RM10,000 (S$2,960). Hukuman sebatan rotan itu dijadual dilakukan pada Ahad (21 Mac) di mahkamah.

Sekalipun demikian, pada pagi Ahad, Hakim Mahkamah Tinggi Abu Bakar Katar memutuskan bahawa hukuman tersebut digugurkan tetapi mengekalkan bon berkelakuan baik selama setahun itu.

Beliau berkata hukuman tersebut ditarik balik berdasarkan kenyataan yang tertera dalam Seksyen 293 Kod Prosedur Jenayah (CPC) Malaysia.

Hakim menjelaskan bahawa menurut CPC, pesalah remaja lelaki yang disabit atas mana-mana kesalahan boleh dikenakan sebatan ringan rotan selain daripada dijatuhi hukuman penjara atau ditempatkan di bawah bon berkelakuan baik - tetapi bukan kedua-duanya.

Bercakap kepada wartawan selepas keputusan tersebut dimuktamadkan, peguam Yam G K Sritharan mengesahkan bahawa anak guamnya kini hanya akan ditempatkan di bawah bon berkelakuan baik selama setahun.

"Jadi, (anak guam saya) tidak seharusnya terlibat dalam sebarang kesalahan pada masa akan datang, lebih-lebih lagi dalam tempoh 12 bulan mendatang," tambah beliau.

Encik Sritharan juga berkata tulang tangan anak guamnya patah semasa insiden dengan anjing berkenaan dan bahawa hukuman sebatan rotan itu boleh menyebabkan kecederaan lebih teruk.

Pada Mac, Yap didakwa atas kesalahan melakukan kekejaman dengan menyebabkan kesakitan terhadap seekor anjing berwarna coklat di depan sebuah bangunan di Taman Impian Emas, Skudai.

Dia didakwa di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Akta yang sama yang mengenakan denda sehingga RM100,000 (S$29,620) atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Yap mengaku bersalah atas tuduhan tersebut dan kemudian dihukum pada 18 April oleh hakim Mahkamah Sesyen Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim untuk menerima tujuh sebatan ringan rotan dan ditempatkan di bawah bon berkelakuan baik selama setahun.

Sebelum menjatuhkan hukuman tersebut, The Star melaporkan bahawa Hakim Wan Zaidi mengarahkan rakaman video perbuatan Tan mendera dan membakar anjing itu ditayangkan di mahkamah.

Beliau kemudian berkata: "Tindakan anda kejam dan tidak berperikemanusiaan terhadap haiwan yang juga layak untuk hidup dengan aman."

"Anda akan dikenakan sebatan ringan rotan sebanyak tujuh kali dan ditempatkan di bawah bon berkelakuan baik selama setahun dengan ikan jamin RM10,000 disebabkan perbuatan anda," kata Hakim Che Wan Zaidi.

Pada Mac, Yap memuat naik satu rakaman video 45 saat ke laman Facebook beliau untuk meminta maaf atas perbuatannya.

Yap juga berkata beliau mahu menawarkan untuk membayar kos perubatan anjing tersebut.

"Saya tahu walau apa pun alasan saya, saya tidak seharusnya lakukan apa yang sudah saya lakukan, jadi saya mengaku kesalahan saya dan akan menerima hukumannya. Saya berasa kesal dan akan betul-betul memikirkan tentang perbuatan saya," kata Yap.

"Saya betul-betul mohon maaf. Saya berjanji perkara ini tidak akan berlaku lagi dan berharap semua orang memberi saya peluang untuk berubah," tambah Yap.
 
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan